50% diskaun tol sempena Tahun Baharu Cina

50% diskaun tol sempena Tahun Baharu Cina

Diskaun itu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kira-kira RM19.5 juta pampasan kepada pengendali tol.

Diskaun tol 50% akan bermula 12.01 tengah malam 14 Feb hingga 11.59 malam 15 Feb ini.
PETALING JAYA:
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan memberi diskaun tol 50% sempena Tahun Baharu Cina.

Diskaun 50% itu akan bermula 12.01 tengah malam 14 Feb hingga 11.59 malam 15 Feb ini.

Diskaun itu hanya tertakluk kepada kenderaan persendirian Kelas 1 dan Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang, tetapi bukan tol di sempadan negara, iaitu Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

Nanta berkata, langkah yang diluluskan Jemaah Menteri itu dijangka menyebabkan kerajaan menanggung kira-kira RM19.5 juta pampasan kepada pemegang konsesi tol.

“Pemberian diskaun tol 50% ini diharap dapat meringankan beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga atau bercuti untuk menyambut awal Ramadan.

“Pemilihan tarikh itu bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan, selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan rehat dan rawat di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap pengguna lebuh raya merancang perjalanan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Pengguna disaran memuat turun aplikasi MyPLUS TTA dan navigasi lebuh raya TuJu untuk cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan serta pemanduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.