
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata semua faktor tersebut cukup dekat realiti pengundi baharu.
Katanya, kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi mengenai cabaran besar didepani Umno andai corak sokongan seperti PRU lalu berterusan merupakan amaran serius.
“Kenyataan Zahid itu bukan sekadar retorik politik, sebaliknya mencerminkan hakikat penurunan sokongan yang semakin ketara, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan di kawasan bandar.
“Umno tidak lagi boleh bergantung kepada kekuatan tradisional semata-mata. Jika pola sokongan PRU lalu kekal, risiko menjadi parti marginal adalah nyata,” katanya kepada FMT.
Untuk rekod, pengaruh Umno semakin merosot sejak PRU 2004 yang mana parti itu menang 109 kerusi merudum kepada 79 (2008), kemudian naik sedikit kepada 88 (2013), namun kembali merosot dengan 54 (2018) dan terburuk 26 (2022).
Ahad lalu, Zahid menyuarakan kebimbangan partinya berdepan risiko ‘tutup kedai’ dalam tempoh 20 tahun akan datang, sekiranya corak sokongan rakyat kekal seperti berlaku pada PRU lalu.
Beliau berkata, ahli Umno khususnya barisan pelapis perlu mencipta sesuatu yang luar biasa untuk menangkis persepsi dan prasangka negatif terhadap parti. Katanya, disebabkan persepsi dan prasangka negatif, pengundi baharu yang mulanya berhasrat mengenali Umno akan menjauhkan diri.
Mengulas lanjut, Bilcher berkata, Umno perlu menguasai ruang digital sebagai medan utama komunikasi politik serta membina naratif segar yang mampu menembusi minda generasi muda.
“Jika Umno terus bergantung kepada kepimpinan lama, jurang generasi akan semakin melebar. Hanya dengan transformasi radikal berasaskan kepimpinan muda dan strategi inklusif, Umno mampu mengelak daripada menjadi sekadar parti sejarah.”
Sementara itu, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) bersetuju dengan kenyataan Zahid jika Umno masih kekal dengan imej dan pembawakan sama, parti itu berpotensi terkubur.
Beliau menyeru Umno perlu membuat ‘penjenamaan politik’ dan ‘pemasaran’ untuk menang besar dalam PRU16, jika bekerjasama dengan kerajaan perpaduan.
“Kerjasama itu juga haruslah memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) dapat menambah sekurang-kurangnya 30 kerusi pada PRU16,” katanya.