
Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata, PN meraih sokongan yang besar pada PRN 2023 kerana ketika itu ia dilihat sebagai alternatif kepada BN.
“Ramai penyokong BN yang marah dan kecewa menyalurkan undi protes mereka kepada PN,” katanya kepada FMT.
PN kini tidak mempunyai pengerusi sejak Muhyiddin Yassin meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu susulan kemelut politik di Perlis. PAS menuntut jawatan itu namun Presiden Hadi Awang menolak atas faktor kesihatan. Sebaliknya, Bersatu menegaskan gabungan mestilah diterajui presiden parti.

Hisomuddin berkata, pertikaian berlarutan boleh memberi ruang kepada BN untuk meraih kembali sokongan di Selangor, terutama di kawasan separa bandar dan luar bandar dengan majoriti Melayu di sepanjang sempadan utara dan timur.
“Jika PN berpecah, secara logiknya kekuatan mereka tidak lagi sama seperti ketika bertanding bawah satu lambang,” katanya, menambah bahawa pengundi mungkin mula mempersoalkan keikhlasan di sebalik seruan perpaduan ummah yang diuar-uarkan PN.
Beliau percaya ini membolehkan BN memposisikan semula dirinya di Selangor, yang pernah ditadbir selama 51 tahun sehingga 2008.
Pada PRN Selangor 2023, Pakatan Harapan (PH) memenangi 32 daripada 56 kerusi, manakala BN hanya memperoleh dua kerusi. PN pula berjaya membuat kejutan dengan menguasai 22 kerusi.
Dalam pada itu, Hisomuddin berpandangan risiko dihadapi PH adalah minimum buat masa ini kerana kebanyakan kerusinya berada di kawasan campuran atau majoriti bukan Melayu, di mana pertikaian PAS-Bersatu tidak memberi impak besar.
Sumber memberitahu FMT, PH, BN, dan PN di Selangor sudah mula membincangkan kemungkinan pengagihan kerusi di sebalik kemelut dalaman PN.
“Semua mata tertumpu pada Selangor kerana ketiga-tiga gabungan sedang mencari rakan kerjasama. PAS cuba bekerjasama dengan Umno, manakala Umno juga sedang menilai sama ada lebih baik untuk terus bekerjasama dengan PH,” kata sumber itu.
Menurut sumber itu lagi, kerjasama PH-BN dilihat paling berdaya maju kerana mempunyai penyokong tersendiri, sekali gus meminimumkan pertindihan kerusi.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, kejayaan PAS di Selangor mencerminkan kekecewaan pengundi Melayu terhadap PH, terutama berhubung tekanan ekonomi.
Namun, pertikaian PAS-Bersatu boleh melemahkan PN, walaupun PH masih bergelut untuk menyaingi PAS di kerusi majoriti Melayu.
“Untuk menarik pengundi Melayu, Umno kekal sebagai perantara utama, tetapi ia memerlukan sokongan kuat dan penerimaan daripada penyokong PH,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama PH-BN yang lemah pada PRN lalu membolehkan PN meraih jumlah undi protes yang besar ketika itu.