
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin berkata, pihak SDP kini sedang menyusun laporan bebas yang komprehensif dan bakal diserahkan kepada AS dalam masa terdekat berhubung dakwaan tersebut.
Beliau berkata, KPPK dimaklumkan bahawa CBP telah menurunkan taraf tindakan terhadap SDP daripada Perintah Pelepasan Penahanan (Withhold Release Order) (WRO) kepada penemuan (finding).
“Di bawah WRO, produk masih boleh mendarat di AS namun tidak boleh didagangkan atau diproses. Bagaimanapun, berikutan notis penemuan yang diterima oleh SDP, sebarang produk yang ditemui akan dirampas.
“Saya berpandangan tindakan CBP ini adalah terburu-buru dan tidak berasas memandangkan SDP sedang menyusun laporan bebas yang komprehensif dan bakal diserahkan kepada AS dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan yang turut akan memantau rapi tindakan CBP terhadap SDP atas alasan isu buruh paksa itu.
Zuraida berkata, kementerian juga akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu ini daripada agensi berkaitan di AS, agar penyelesaian segera dapat dicapai.
“Bagi tujuan ini KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memperluaskan kerjasama sepenuhnya dengan agensi di AS dan negara lain supaya minyak sawit keluaran negara boleh didagangkan secara bebas di peringkat global,” katanya.
Sebelum ini, CBP mengenakan sekatan terhadap minyak sawit dan produk lain yang dikeluarkan SDP dan anak syarikatnya kerana mempunyai 11 penunjuk buruh paksa yang ditetapkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa.
CBP pada masa sama memaklumkan kepada pegawainya di semua pelabuhan masuk AS untuk menahan minyak sawit dan sebarang produk yang mengandungi minyak sawit yang dihasilkan oleh Sime Darby dan entiti berkaitan di Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, beliau yakin hasil siasatan perunding bebas terhadap dakwaan CBP mengenai penggunaan buruh paksa dapat dibersihkan tidak lama lagi menerusi kajian mendalam yang dilaksanakan di lapangan oleh perunding bebas bagi mencerminkan urus tadbir baik.