
Dengan bilangan penerima haiwan yang kurang, pusat perlindungan dikendalikan SPCA Seberang Perai itu terpaksa menjaga terlampau banyak haiwan apabila anjing yang tidak dituntut pemiliknya dari tempat kurungan majlis perbandaran turut dihantar ke situ.
Pusat perlindungan bertempat di tapak seluas dua ekar yang bersempadan dengan Juru dan Simpang Ampat, adalah yang terbesar seumpamanya di negeri utara itu.

Pengerusinya, Lew Wen Teik, berkata sebelum ramai yang berminat untuk mengambil haiwan itu untuk dipelihara namun bilangannya semakin berkurangan disebabkan pandemik.
Lebih memburukkan keadaan apabila mereka tidak mempunyai ramai pekerja untuk menjaga haiwan terbabit. Ketika ini ia mempunyai lima pekerja.
Lew berkata wang simpanan terpaksa digunakan untuk menampung operasi pusat perlindungan yang boleh bertahan sekurang-kurangnya untuk empat bulan lagi.

“Ia menelan kos 70 sen sehari untuk menjaga setiap haiwan. Namun, keadaan agak sukar sejak dua tahun lalu dan sebagai badan penyelamat dan kebajikan haiwan, kami bergantung kepada sumbangan orang ramai,” katanya.
Richard Ong, yang menguruskan pusat terbabit, berkata dia terpaksa menjual dua hartanahnya untuk memastikan ia terus dapat dibuka dan ia menelan belanja lebih RM50,000 sebulan untuk mengendalikannya.
Perbelanjaan itu termasuk sewa (lebih RM20,000 setahun), gaji pekerja, makanan, ubat-ubatan, utiliti dan bayaran doktor veterinar yang melakukan pemeriksaan ke atas haiwan berkenaan.

Ong berkata mereka memerlukan tenaga sukarelawan segera untuk membantu membersihkan pusat perlindungan, memandikan anjing dan mengecat semula sangkar yang berkarat.
Katanya, ramai yang menderma makanan anjing tetapi agak sukar bagi mendapatkan makanan kucing. Ia menempatkan kira-kira 600 ekor kucing.

“Kita juga ingin mewujudkan ruang untuk anjing bermain dalam kawasan ini tetapi tidak mempunyai pekerja yang cukup untuk menguruskan anjing yang banyak.”

Ong menggesa lebih ramai pencinta haiwan tampil untuk mengambil dan memelihara anjing serta kucing dari pusat perlindungan terbabit. Mereka yang berminat untuk membantu sila ke laman Facebook pusat perlindungan haiwan itu.