
Seorang GP di Kuala Lumpur yang enggan dikenali berkata, pemborong farmaseutikal hanya berminat untuk memenuhi pesanan besar manakala klinik swasta akan memesan bekalan mereka “sebagaimana dan apabila diperlukan” dengan mengambil kira tarikh luput.
“Kita uruskan dengan mendapatkan kuantiti yang lebih kecil pada harga berpatutan menerusi bantuan pemborong kecil kerana kita membeli setiap bebuli mengikut pendaftaran pesakit dan bukan secara pukal,” katanya.
Katanya, GP membayar harga premium untuk vaksin.
Pada 13 Jan, Putrajaya menetapkan harga siling untuk vaksin Sinovac dan Sinopharm. Harga borong untuk Sinovac ialah RM62 dan RM48 untuk Sinopharm. Harga runcitnya masing-masing ialah RM77 dan RM61.
Doktor itu berkata pesanan minimum ditetapkan pemborong adalah 4,000 dos dan tidak mungkin mana-mana GP boleh membeli sejumlah itu dengan bayaran muka secara tunai dan tiada pembayaran balik.
Katanya, beberapa pemborong menjual pakej 80 dos dengan tarikh luput yang dilanjutkan di eMed Asia – sebuah pasaran penjagaan kesihatan e-dagang – pada harga lebih tinggi berbanding harga siling ditetapkan kerajaan.
“Jika ini berterusan, adalah lebih baik untuk mengatakan banyak klinik swasta sama ada berhenti menyediakan vaksin atau mereka mungkin mula mengenakan caj lebih, seperti caj pentadbiran dan inokulasi untuk mengimbangi harga itu,” katanya.
Manakala seorang lagi GP di Bukit Bintang, Dr Shanmuganathan TV Ganeson berkata, pihak yang akan menanggung beban daripada harga siling itu adalah mereka yang membeli vaksin secara pukal.
“Saya boleh agak perkara seperti ini akan berlaku dan saya terus berhenti membeli vaksin,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata, secara amnya klinik swasta bukan dalam kedudukan untuk memanfaatkan harga pembelian secara pukal, yang boleh menjadi lebih rendah.
“Justeru, mereka pasti merasai beban dengan pengenalan harga siling ini.”