
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, penutupan sekolah dilaksana untuk tempoh dua hingga tiga minggu, tertakluk kepada pengesahan Jabatan Kesihatan Sabah.
“Sesi pembelajaran bagi semua pelajar yang akan menghadapi peperiksaan utama boleh diteruskan, dengan pematuhan SOP yang ketat dalam kalangan pelajar, termasuk guru dan kakitangan institusi pendidikan berkenaan.
“Ini (kluster institusi pendidikan) telah mencetuskan kebimbangan dan menjadi agenda perbincangan Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah, yang prihatin dengan laporan trend jangkitan Covid-19 di beberapa sekolah di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bermula 1 Jan sehingga hari ini, terdapat 10 kluster institusi pendidikan dikesan di Sabah, terbaharu Kluster Batu 24 Nabalu dilaporkan hari ini, melibatkan jangkitan di tiga daerah iaitu Kota Belud, Tuaran, dan Kota Kinabalu.