Aktivis beri amaran mengenai monopoli dalam pengambilan pekerja Bangladesh

Aktivis beri amaran mengenai monopoli dalam pengambilan pekerja Bangladesh

Memorandum persefahaman yang ditandatangani dengan Dhaka dikatakan mengehadkan pengambilan kepada 25 ejen warga Bangladesh dan sub-ejen mereka.

Seorang aktivis pekerja asing berkata, Malaysia tidak seharusnya mengulangi kesilapan lalu dalam pengambilan pekerja asing.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis pekerja asing mengecam keputusan mengehadkan pengambilan pekerja warga Bangladesh ke negara ini kepada 25 ejen warga Bangladesh dan 10 sub-ejen mereka.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata, mewujudkan monopoli sedemikian bersifat anti persaingan dan akan menggagalkan semua usaha ke arah pengambilan pekerja asing secara adil ke Malaysia.

“Pembaharuan pengambilan mesti didedahkan kepada umum dan telus, jika tidak kita akan buat kesilapan sama,” katanya kepada FMT.

Pereira berkata, Malaysia sepatutnya mempunyai dasar menyeluruh mengenai penghijrahan buruh dan tidak boleh dilupakan bahawa terdapat ribuan pekerja asing yang tidak berdokumen di negara ini dan yang perlu didokumentasikan terlebih dahulu.

Adrian Pereira.

Jumlah ejen pengambilan disahkan dalam satu surat daripada Menteri Sumber Manusia M Saravanan kepada Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad pada 14 Jan.

Surat itu menyusul kurang sebulan selepas kedua-dua menteri itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Kuala Lumpur untuk menarik balik pembekuan pekerja Bangladesh baharu yang dilaksanakan sejak September 2018.

Surat yang dilihat FMT itu disahkan oleh sumber Kementerian Sumber Manusia, walaupun Saravanan tidak memberi respons apabila diminta mengulas.

Pengesahan angka itu dibuat selepas Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) menggesa peluang sama rata untuk membenarkan 1,600 ahlinya menghantar pekerja ke Malaysia.

BAIRA sebelum ini berkata, 10 agensi pilihan Malaysia memonopoli pengambilan pekerja antara 2016 dan 2018.

Dalam surat kepada Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina pada 13 Jan, BAIRA memberi amaran bahawa sindiket pengambilan pekerja boleh mengakibatkan pekerja menjadi mangsa eksploitasi buruh dan membawa kepada peningkatan amalan rasuah dan aktiviti pemerdagangan manusia.

Imran sebelum ini berkata, beliau bertekad untuk menghapuskan sindiket sedemikian, yang meningkatkan kos pengambilan pekerja asing.

Merakamkan penghargaannya terhadap MoU itu, Saravanan berkata, adalah penting bagi kedua-dua pihak memastikan pengambilan pekerja Bangladesh ke Malaysia berjalan “pantas dan teratur”.

“Justeru saya ingin ingatkan dan dipersetujui oleh Puan Yang Terutama semasa perbincangan pada Februari tahun lepas mengenai penglibatan 25 Agensi Pengambilan Bangladesh (BRA) utama dengan 10 BRA bersekutu masing-masing di bawah setiap BRA utama berhubung proses pengambilan pekerja Bangladesh,” katanya dalam surat itu.

“Secara keseluruhan, 250 agensi pengambilan dari Bangladesh akan mengambil bahagian,” katanya.

Beliau berkata, agensi pengambilan Malaysia juga akan terlibat dan tanggungjawab mereka “dijelaskan” dalam MoU.

Bagaimanapun, MoU yang ditandatanganinya dengan Imran secara tertutup pada 19 Dis itu dikritik kerana kekurangan butirannya.

Ketika diminta mengulas minggu lalu, Saravanan berkata, menjadi kebiasaan MoU di negara ini dirahsiakan.

Saravanan berkata, bulan lalu, 326,669 warga Bangladesh bekerja di negara ini setakat 30 Nov dengan majoriti daripada mereka terlibat dalam sektor pembinaan (136,897) dan pembuatan (111,694).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.