Polis siasat doktor klinik diserbu ambil vaksin atau tidak

Polis siasat doktor klinik diserbu ambil vaksin atau tidak

Polis berkata sehingga kini tujuh individu termasuk pemilik klinik itu ditahan minggu lalu dan tiada tangkapan baharu dilaporkan setakat ini.

Suspek menyasarkan golongan antivaksin atau yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin dan klinik akan mengenakan bayaran RM500 untuk mereka mendapatkan sijil digital MySejahtera tanpa perlu disuntik vaksin.
PETALING JAYA:
Sebuah klinik swasta di Gombak yang disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu kini dalam siasatan polis termasuk sama ada doktor dan petugas di klinik berkaitan mengambil vaksin atau sebaliknya.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, kes masih dalam siasatan selepas klinik tersebut menawarkan sijil vaksin palsu menggunakan aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, sehingga kini tujuh individu termasuk pemilik klinik itu ditahan minggu lalu dan tiada tangkapan baharu dilaporkan setakat ini.

“Setakat ini tiada tangkapan baharu. Dalam hal ini, kita akan terus menyerbu klinik yang didapati menjalankan kegiatan itu hasil risikan dan maklumat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, Arjunaidi dipetik sebagai berkata, suspek termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun ditahan minggu lalu dalam serbuan di klinik berkenaan.

Suspek menyasarkan golongan antivaksin atau yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin dengan pihak klinik akan mengenakan bayaran RM500 untuk mereka mendapatkan sijil digital MySejahtera tanpa perlu disuntik vaksin.

Pemeriksaan ke atas komputer riba yang dirampas mendapati 5,601 pesakit yang sudah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah individu yang didaftarkan tanpa menerima suntikan.

Pada peringkat awal klinik yang beroperasi sejak tiga bulan lalu itu mengenakan bayaran sehingga RM3,000 bagi setiap pelanggan, bagaimanapun diturunkan kepada RM500 berikutan terdapat persaingan daripada klinik lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.