‘Saya maafkan dia’, kata bapa selepas anak penggal kepala isteri

‘Saya maafkan dia’, kata bapa selepas anak penggal kepala isteri

Bapa itu berharap anaknya insaf dengan tindakannya membunuh ibu kandung sendiri.

Lelaki itu masih terkejut dengan kematian isterinya, tetapi sudah memaafkan anaknya kerana dia darah dagingnya.
PETALING JAYA:
Bapa kepada lelaki yang memenggal kepala ibu kandungnya di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor kelmarin memaafkan anaknya.

“Walaupun masih terkejut dengan tragedi hitam itu, saya sudah maafkan anak.

“Apa-apa pun, dia tetap darah daging saya dan harap benar-benar insaf,” katanya dipetik Berita Harian.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa berusia 56 tahun ditemui di ruang tamu dengan kesan darah di dalam rumah.

Suspek berusia 28 tahun yang juga seorang penganggur, ditahan polis dengan bantuan penduduk kampung selepas bersembunyi dalam belukar berhampiran rumahnya.

Menurut lelaki berusia 61 tahun yang enggan dikenali itu, ketika kejadian dia sedang menjual udang di Kampung Bukit Belimbing sebelum didatangi seorang penduduk yang memaklumkan tragedi menimpa isterinya.

“Saya segera pulang dan terkejut melihat rumah yang dipenuhi penduduk.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh memasukinya,” katanya ketika ditemui di Surau An Nur, Kampung Baru Pasir Penambang hari ini.

Difahamkan, jenazah mangsa masih berada di Hospital Sungai Buloh (HSB) dan dijangka disembahyangkan di surau itu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang.

Suami mangsa menyifatkan arwah rajin melaksanakan ibadah kepada Allah, selain peramah dan mesra dengan jiran.

Katanya, empat bulan lalu, isterinya menitipkan pesanan supaya segera menguruskan pengebumiannya sekiranya dia meninggal dunia.

Beliau turut meminta semua pihak tidak menyebarkan lagi gambar arwah yang disifatkan mengaibkan.

“Saya reda dengan ujian Allah, tetapi dalam masa sama, sedih kerana gambar itu masih berlegar di laman sosial. Sudah-sudahlah buat begitu. Arwah ini baik orangnya dan dia pun sudah pergi menghadap Ilahi.”

Semalam, polis dilaporkan merampas parang disyaki digunakan suspek untuk memenggal kepala wanita itu yang ditemui dalam tandas rumah.

Suspek direman tujuh hari sehingga 22 Jan ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.