
Dalam kenyataan bersama, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu diambil kerana harga vaksin tinggi dan berbeza di pasaran swasta ketika ini.
Vaksin CoronaVac Sinovac ditetapkan tidak boleh melebihi RM62 (harga borong) atau RM77 secara runcit, manakala untuk vaksin Covilo Sinopharm, harga siling borong ditetapkan pada RM48, dengan had runcit RM61.
Harga siling itu berkuat kuasa mulai 15 Jan ini dan ia tidak termasuk caj perkhidmatan serta barangan pakai buang yang digunakan ketika suntikan vaksin.
Penguatkuasaan akan dilakukan sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan.
Semua kemudahan kesihatan swasta yang mendapat kelulusan kerajaan untuk menjual vaksin wajib mempamerkan harga vaksin Covid-19.
Mereka yang didapati melanggar harga siling itu akan didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, di mana individu boleh didenda di mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya. Kompaun sebanyak RM50,000 juga boleh dikenakan.
Bagi syarikat, denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 boleh dikenakan.
Orang ramai boleh menyalurkan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam KKM.