
Farah, 29 tahun, anak sulung daripada tiga beradik itu disahkan menghidap gangguan kemurungan utama (major depressive disorder) dan simptomnya bermula ketika dia mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan di University of Sheffield, United Kingdom.
Hidup dalam keadaan keluarga yang berantakan, Farah mengakui perceraian ibu bapanya sebanyak dua kali adalah antara penyebab utama kepada masalah mental yang dihadapinya.
“Jika mereka baca berita ini, ia kali pertama mereka tahu. Keluarga saya dah banyak masalah, jadi saya tak mahu susahkan hati mak sebab dia pun dah cukup susah,” katanya ketika ditemui FMT pada majlis Konvokesyen UPM ke-44 baru-baru ini.
Farah berkata, sejak perceraian itu ibunya mengambil tanggungjawab menyara keluarga hasil jualan makanan secara kecil-kecilan untuk membiayai dua orang adiknya yang masih belajar dengan hasil pendapatan sebanyak RM600 hingga RM800 sebulan.
Pernah beberapa kali terfikir mahu membunuh diri, Farah memberitahu itulah yang menakutkannya apabila sampai pada satu tahap dia gagal mengawal dirinya.
“Saya risau fikiran untuk bunuh diri akan terjadi betul-betul jika saya tidak kawal perasaan. Semasa di UK itu memang teruk juga, ada satu masa ketika berada di trem, saya mencangkung dekat situ fikir nak terjun,” luahnya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam itu mengakui berasa putus asa untuk menamatkan pengajian apabila masalah mental yang dihadapinya mengganggu pembelajaran dan membuatkan dia berulang kali gagal dalam peperiksaan.
“Saya berhenti belajar di University of Sheffield UK dan di UPM memang banyak kali rasa nak putus asa. Bila sakit itu menyerang dia buat saya rasa macam-macam, nak tidur tak boleh, nak berjaga penat dan saya hilang fokus, memang saya tak boleh belajar” kata Farah.
Namun ujarnya, atas sokongan rakan-rakan yang tidak pernah meminggirkannya meskipun mengetahui dia mempunyai masalah mental, dia bertekad untuk melawan perasaan dan mendapatkan rawatan dengan cara yang betul di sebuah hospital di Seri Kembangan.
Farah berkata, apabila keadaannya kembali stabil, waktu yang ada digunakan sebaik mungkin untuk menelaah segala pembelajaran dengan dibantu oleh rakan-rakan. Hasilnya dia berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun dengan keputusan yang memuaskan.
“Saya dapatkan rawatan dan belajar kawal masalah itu, saya sibukkan diri dengan lakukan aktiviti bersama rakan-rakan, elak berfikiran negatif dan elak daripada duduk bersendirian.
“Bila dah stabil, saya bangkit semula, daripada tempoh belajar empat tahun, saya berjaya habiskan dalam masa tiga tahun sahaja. Tahun ketiga habiskan pengajian memang saya ‘pulun’ balik dan belajar dengan bantuan kawan-kawan,” ujarnya.
Farah berkata, realitinya masih ramai lagi dalam kalangan orang ramai yang bertarung dengan masalah mental dan ia tidak boleh dibiarkan. Individu yang mengalami masalah itu perlu mengetahui cara yang betul untuk mengawalnya.
“Masalah daripada sakit mental sebenarnya tidak akan pernah bebas, ia akan sentiasa mempengaruhi tetapi cara kita mengawal masalah tersebut sangat penting.”