UPM mohon maaf bunuh anjing

UPM mohon maaf bunuh anjing

UPM akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan prosedur dan merangka pendekatan terbaik yang mampan.

UPM menegaskan komitmen memastikan setiap tindakan pengurusan haiwan liar dilaksanakan secara berhemah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Universiti Putra Malaysia (UPM) kesal dan memohon maaf atas insiden pengendalian anjing liar dalam kawasan kampus yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Dalam kenyataan, UPM turut memandang serius isu berkenaan yang dilaporkan berlaku hujung tahun lalu.

“Universiti menghargai keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan dan menegaskan komitmen untuk memastikan setiap tindakan pengurusan haiwan liar dilaksanakan secara berhemah, beretika dan mematuhi peraturan semasa.

“Universiti juga menghargai pandangan masyarakat tentang tanggungjawab dan kepentingan menjaga keselamatan warga kampus,” katanya.

Pada 12 Okt lalu, lebih 20 NGO membabitkan kira-kira 100 aktivis berhimpun menggesa Naib Canselor Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP) Ng Yee Guan diambil tindakan susulan kes pembunuhan anjing.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) yang mengetuai perhimpunan itu turut tidak menolak kemungkinan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyalahgunaan wang susulan wujud ‘kemusykilan’ dalam bayaran dibuat pihak universiti terhadap kontraktor swasta untuk membunuh anjing liar di sekitar kampusnya.

Presiden Rajesh Nagarajan berkata, kontraktor itu mengenakan RM400 kepada UPM bagi kerja melupus setiap ekor anjing liar, namun apabila Peka membuat penyamaran kadar dikenakan hanya RM220.

Selain itu, Peka turut memberikan tempoh lima hari kepada UPM untuk Ahmad dan Ng membuat penjelasan atau NGO tersebut akan membuat laporan kepada SPRM termasuk berhimpun di bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Selain itu, Peka turut mengancam memfailkan kes di mahkamah susulan dakwaan salah guna kuasa kuasa sebagai penjawat awam.

Sementara itu, UPM menyerahkan sepenuhnya kepada polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menjalankan siasatan terperinci, sambil memberi jaminan akan menghulurkan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan.

UPM turut memaklumkan sebagai tindakan awal bagi memelihara integriti siasatan pihak berkuasa, tugas digalas Ng akan dilepaskan daripada menjalankan kerja operasi Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP) sehingga proses siasatan selesai.

“UPM juga telah menangguhkan semua aktiviti pengendalian haiwan liar dalam kampus sehingga satu prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih menyeluruh dibangunkan. SOP ini akan menekankan keseimbangan antara keselamatan manusia, kebajikan haiwan dan pematuhan kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

UPM akan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan prosedur dan merangka pendekatan terbaik yang mampan.

Peka sebelum ini mendakwa UPM mengupah sebuah syarikat berpangkalan di Sentul untuk ‘membunuh’ anjing pada kadar RM400 seekor.

Satu invois bertarikh November 2024 yang didakwa dihantar kepada UPM menunjukkan caj untuk ‘menangkap dan melupuskan anjing liar’ namun tidak menyatakan kaedah pelupusan haiwan berkenaan.

Invois itu turut memaparkan beberapa cop rasmi didakwa milik UPM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.