21 ditahan dipercayai kemuka penyata akaun bank syarikat palsu

21 ditahan dipercayai kemuka penyata akaun bank syarikat palsu

Menurut sumber SPRM, semua suspek berusia antara 31 dan 77 tahun ditahan secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah, semalam.

Semua yang ditahan terdiri daripada pemilik, pengarah dan pengurus syarikat selain kontraktor serta individu bekerja sendiri, menurut sumber SPRM.
ALOR SETAR:
Seramai 21 individu termasuk tiga wanita ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.

Sumber SPRM memberitahu semua suspek berusia antara 31 dan 77 tahun ditahan secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan pejabat SPRM Kedah, semalam.

“Semua OKT (Orang Kena Tahan) ditangkap kerana dipercayai mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan untuk melayakkan syarikat mereka memasuki tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara,” katanya malam tadi.

Sumber berkenaan berkata, semua yang ditahan terdiri daripada pemilik, pengarah dan pengurus syarikat selain kontraktor serta individu bekerja sendiri.

Menurutnya SPRM juga sedang mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dan sedang mendapatkan dokumen penting dalam kes itu, selain merakam pernyataan beberapa saksi.

Katanya, SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan dibuat berkaitan kes selepas ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.