Istana Pahang nafi Al-Sultan Abdullah buka akaun media sosial peribadi

Istana Pahang nafi Al-Sultan Abdullah buka akaun media sosial peribadi

Platform Kesultanan Pahang menjadi akaun sah dengan kira-kira 772,000 pengikut ketika ini.

Berita palsu hoax sultan pahang
Istana Pahang nasihat orang ramai tidak diperdaya dengan hantaran pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan gambar Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Istana Pahang menafikan kewujudan sebarang media sosial peribadi milik Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan baginda tidak mempunyai sebarang akaun media sosial yang dilihat banyak dihasilkan oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama dan gambar Al-Sultan Abdullah untuk memperdaya orang ramai.

“Begitu juga dengan akaun palsu terutamanya Facebook dan TikTok menggunakan nama dan gambar Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” menurut hantaran itu.

Istana Pahang menegaskan semua akaun berkenaan adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam media sosial palsu.

Orang ramai juga diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima pelawaan atau kandungan mencurigakan.

Menurut hantaran itu, semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan menerusi platform media sosial Kesultanan Pahang, dan di Facebook hanya satu akaun sah Kesultanan Pahang dengan kira-kira 772,000 pengikut ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.