
Pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah berasrama penuh kerajaan meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan hari.
Pada minggu berikutnya, apa yang bermula sebagai pencarian keadilan dibayangi khabar angin, maklumat salah, dan perebutan dalam kalangan ahli politik yang teruja untuk memanfaatkan kemarahan awam menjelang PRN kian hampir.
FMT meneliti lebih dekat bagaimana sebuah tragedi yang menyatukan rakyat Malaysia dalam kesedihan, tidak lama kemudian bertukar menjadi antara perdebatan awam paling memecah-belahkan tahun ini.
Kes menggoncang negara
Menurut Bernama, Zara ditemui kira-kira 3 pagi, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah. Pada mulanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, namun kemarahan awam memuncak dengan pantas.
Menjelang 18 Julai, Ketua Polis Papar Kamaruddin Ambo Sakka menyeru orang ramai tidak membuat spekulasi, meskipun media sosial dibanjiri teori mengaitkan ‘anak VVIP’ dan ‘penutupan kes’.
Pada 1 Ogos, pejabat Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Ali, bertindak menepis khabar angin itu apabila setiausaha politiknya, Ghazali Hajiji, membuat hantaran di Facebook menolak spekulasi tidak berasas, mengaitkan keluarga Ahli Parlimen tersebut dengan insiden berkenaan.
“Untuk rekod, Armizan tidak mempunyai anak bersekolah di sekolah ini. Landskap politik Sabah adalah matang; tidak perlu kita pergi begitu rendah sehingga ke tahap ini. Cukup-cukuplah, kita lebih baik daripada ini.”
Sehari kemudian, Malay Mail melaporkan polis tidak menemui sebarang bukti mengaitkan mana-mana anak VIP — termasuk anak daripada keluarga menteri atau dikaitkan dengan Istana Seri Kinabalu — dengan kematian Zara.
“Setakat ini, tiada bukti menunjukkan anak-anak VIP terlibat. Polis tidak akan berkompromi atau melindungi sesiapa, tanpa mengira latar belakang,” jamin Kamaruddin.
Pada hari sama, ibu Zara secara terbuka menafikan dakwaan dia pernah menuduh mana-mana VIP terlibat.
Siasatan berlangsung
Pada 3 Ogos, ketika berucap di Kota Kinabalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berikrar untuk ketelusan penuh dalam siasatan dan memberi amaran terhadap tuduhan tidak berasas.
“Tiada sesiapa pun akan dilindungi sekiranya mereka dikaitkan dengan kematiannya — tidak kira status, termasuk mana-mana Tan Sri atau Datuk Seri.
“Tetapi, jangan menuduh orang lain tanpa bukti. Sekiranya terdapat bukti salah laku, kita akan menghukum (pihak yang bersalah). Kita adalah sebuah negara berasaskan undang-undang, bukan negara fitnah,” katanya memetik The Star.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan penutupan kes di Parlimen, menegaskan kes itu dikendalikan mengikut prosedur sewajarnya.
Pada bulan sama, Jabatan Peguam Negara mengarahkan mayat Zara digali semula untuk bedah siasat kedua dijalankan. Pakar patologi forensik kemudian mengesahkan dia meninggal dunia akibat kecederaan kepala yang konsisten dengan jatuh.
Tiada tanda dicekik, dikurung, atau trauma prajatuh — penemuan yang secara langsung bertentangan teori konspirasi liar yang berlegar dalam talian.
Menurut Sabah’s Daily Express, polis kemudian mengesahkan Zara sememangnya dibuli beberapa pelajar senior.
Pada 20 Ogos, lima pelajar perempuan— semuanya bawah umur — didakwa mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan kerana gangguan dan penggunaan bahasa kesat. Pendakwa raya menegaskan pertuduhan itu tidak berkaitan dengan kematiannya.
Inkuiri yang bermula pada September mendedahkan butiran baharu mengenai peristiwa yang membawa kematian Zara. Bukti muncul bahawa beberapa pelajar senior ada bersemuka dengannya di asrama berkait kehilangan barang, pada malam 15 Julai.
Seorang pelajar mendedahkan, Zara mengunci diri dalam bilik air sambil menangis. Seorang lagi memberi keterangan dia kelihatan ‘sedih dan bersendiri’ selepas dimarahi.
Susulan itu, seorang ahli kimia kerajaan mengesahkan darah Zara ditemui pada helaian koyak diari yang disimpan dalam biliknya.
Pakar perubatan memberitahu mahkamah, kecederaannya berpunca daripada jatuh dari tempat tinggi, tanpa sebarang tanda pergelutan fizikal.
Detik dipolitikkan
Dengan inkuiri sedang berjalan, kes itu bertukar menjadi isu politik pada 22 Sept.
Dalam kenyataan di sebuah acara awam yang dirakam dalam video dan tular, Presiden Warisan Shafie Apdal menyuarakan rasa kecewa terhadap rentak inkuiri, sambil menyatakan ia mengambil masa terlalu lama.
“(Zara) sudah mati, bukan (kerana) dibuli. Ia (kes) bunuh. Sudah berapa kali Bukit Aman tanya (saksi)? Sudah berapa kali ditanya, orang yang sama,” katanya.
Kenyataan sedemikian menyalakan tindak balas.
Dalam kenyataan media bersama dikeluarkan pada hari berikutnya, peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohamed Salleh, dan Sylvester Kuan — mewakili lima pelajar dituduh — berkata ulasan Shafie bersifat menghasut memandangkan prosiding masih berjalan.
“Memanggil kes ini pembunuhan tanpa proses undang-undang sewajarnya adalah sangat tidak bertanggungjawab dan amat prejudis. Ia adalah percubaan terang-terangan untuk menghasut sentimen awam demi keuntungan politik pada PRN akan datang,” katanya memetik Malay Mail.
Dalam masa beberapa hari, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Shafie berhubung kemungkinan menghina mahkamah.
Ulasan Shafie yang disampaikan di tengah-tengah jangkaan berlangsungnya PRN, mencerminkan naratif berpanjangan partinya bahawa isu dan kebimbangan tempatan sering diabaikan pemimpin persekutuan.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pahang, Aireroshairi Roslan, mengeluarkan kenyataan panjang di Facebook pada 26 Ogos yang mengaitkan kes itu dengan apa disifatkannya sebagai ‘kebankrapan moral’ kerajaan Madani.
Seterusnya, beliau menuduh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan atas pelbagai kekurangan dalam pengendalian isu itu dan menyeru kedua-dua menteri meletak jawatan.
Namun, Ketua Menteri Hajiji Noor yang dipetik Bernama, menggesa semua pihak ‘membiarkan proses undang-undang berjalan’.
Seruan itu disokong Armizan, bagaimanapun kemarahan awam bukannya dapat dibendung dengan mudah.
Pada 21 Ogos, ratusan pelajar dan aktivis berkumpul di luar Kementerian Pendidikan di Putrajaya menuduh kerajaan tidak bertindak.
Antara yang mengetuai kempen tekanan awam ialah aktivis pelajar, yang menyatakan kerajaan gagal bertindak tegas terhadap kes buli di sekolah.
Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Tang Yi Ze, memberitahu Malay Mail yang Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek tidak lagi boleh mengabaikan desakan untuk kebertanggungjawaban.
“Fadhlina mesti dipertanggungjawabkan kerana setakat ini tiada apa-apa telah dilakukan mengenai kes Zara dan isu buli. Ini bukan kes terpencil; buli seperti ini sudah berlaku sekian lama.”
Seorang lagi pemimpin pelajar, Azamuddin Sahar, mengetuai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), mengambil pendirian lebih tegas semasa protes di luar Kementerian Pendidikan di Putrajaya.
“Kami beri 30 hari untuk tindakan tuntas — pelan antibuli kebangsaan, latihan untuk warden, sokongan psikososial di sekolah — jika tidak, letak jawatan. Letak jawatan, Fadhlina, letak jawatan!”
Fadhlina pada hari sama, mengulas bahawa pihaknya sedang memperkukuhkan langkah keselamatan melalui CCTV, audit keselamatan, dan jawatankuasa pembaharuan untuk memastikan keselamatan pelajar.
Beliau menganggap isu itu sebagai tanggungjawab bersama, menekankan untuk memerangi buli, dan mewujudkan ekosistem selamat di sekolah yang memerlukan usaha kolektif.
Kes diguna demi politik
Prosiding dalam kamar mahkamah dan kenyataan dibuat ahli politik serta pihak lain dalam talian terus membentuk persepsi awam menjelang PRN Sabah 29 Nov ini.
Tokoh-tokoh sehaluan kerajaan perpaduan dan kerajaan negeri, merujuk keputusan pantas penggalian semula jenazah Zara dan keterbukaan inkues sebagai bukti ketelusan— yakin bahawa langkah diambil meredakan spekulasi pramatang dan khabar angin dalam talian.