Akaun Facebook palsu, Istana Pahang kesan video AI konon Sultan tawar bantuan

Akaun Facebook palsu, Istana Pahang kesan video AI konon Sultan tawar bantuan

Ini berikutan beberapa klip video palsu memaparkan wajah dihasilkan AI menyerupai Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tular menerusi media sosial.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat dalam video tersebut serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan mencurigakan. (Gambar Kesultanan Pahang)
KUANTAN:
Istana Pahang menafikan dakwaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menawarkan bantuan wang kerajaan kepada orang ramai menerusi media sosial.

Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, Istana Pahang memaklumkan telah mengesan kembali penularan beberapa klip video palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan wajah menyerupai Al-Sultan Abdullah dan didakwa menawarkan tawaran bantuan kepada rakyat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video tersebut serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan mencurigakan,” menurut hantaran itu.

Hantaran itu turut memaklumkan Sultan Pahang tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang di Facebook yang memiliki kira-kira 758,000 orang pengikut ketika ini.

“Di platform media sosial lain seperti instagram, TikTok dan Youtube hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my,” menurut hantaran itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.