Kadar pengangguran Nov terendah sejak April 2020

Kadar pengangguran Nov terendah sejak April 2020

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata, lebih ramai orang diambil bekerja susulan pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial.

Jumlah pengangguran merosot kepada kira-kira 700,000 orang pada November, kata Jabatan Perangkaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bilangan penganggur berkurangan di bawah 700,000 orang pada November, iaitu angka terendah sejak April 2020, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh pada November lalu kekal stabil dengan peningkatan guna tenaga berterusan.

Katanya, pengurangan kadar pengangguran itu berikutan pemulihan lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial.

“Kadar vaksinasi lengkap keseluruhan terus meningkat, sementara bilangan kes harian Covid-19 semakin berkurangan. Situasi yang menggalakkan ini juga mendorong lebih banyak aktiviti perjalanan dalam dan luar negara pada bulan tersebut dan selanjutnya turut mempengaruhi pasaran buruh pada November.

“Kedudukan tenaga buruh Malaysia meningkat secara beransur-ansur sejak Ogos 2021 berikutan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial telah beroperasi seperti biasa dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.”

Katanya, operasi aktiviti itu secara berterusan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan pada bulan-bulan akan datang.

Uzir berkata, bilangan individu yang diambil bekerja terus meningkat bagi empat bulan berturut-turut dengan peningkatan 0.4% bulan ke bulan, mencatatkan 15.61 juta orang pada November.

Nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat sebanyak 0.2% daripada 65.8% pada Oktober lalu kepada 66% pada November.

Katanya, kadar pengangguran pada November kekal seperti bulan sebelumnya, iaitu 4.3%.

Bilangan individu yang diambil bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, khasnya dalam perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta pengangkutan dan penyimpanan.

Trend sama turut berlaku dalam sektor pembuatan dan pembinaan, manakala pengambilan pekerja dalam sektor pertanian, perlombongan dan pengkuarian terus berkurangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.