
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu ke atas Norrul Huda Marsidin, 42, serta menetapkan hukuman penjara 15 bulan jika gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen invois milik FIS Gemilang Enterprise bertarikh 22 Nov 2021 bagi perkhidmatan pembekalan makan dan minum untuk dua program di Jabatan Perangkaan Negeri Melaka berjumlah RM6,640.
Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Perangkaan Negeri Melaka, Wisma Persekutuan, Melaka Tengah pada November 2021.
Norrul Huda didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan sebagai pengajaran terhadap tertuduh yang merupakan seorang penjawat awam selain mengambil kira kepentingan awam.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman denda tanpa penjara dikenakan dengan alasan anak guamnya perlu menyara ibu yang uzur selain tertuduh menghidap penyakit ‘anxiety disorder’ dan sedang menjalani rawatan di hospital.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM15,000 serta lima bulan penjara jika gagal bayar denda bagi setiap pertuduhan.