
Bercakap pada sesi panel semasa Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP 2025, pakar dasar sosial Unicef Malaysia Lee Min Hui menggesa agar lebih banyak prasarana penjagaan berasaskan komuniti dan bersepadu diwujudkan.
“(Langkah) ini akan menyokong peningkatan keutamaan meniti usia di kediaman sendiri (ageing in place) dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Pada masa ini, sistem yang terpecah-pecah menyukarkan individu mengakses perkhidmatan yang komprehensif,” katanya.
Lee berkata, dasar mestilah inklusif dan menangani keperluan seseorang sepanjang kitar hidupnya, merujuk wanita terutamanya rentan kerana memikul tanggungjawab menjaga serta disebabkan ketidakstabilan ekonomi.
Beliau menekankan perlunya sebuah ekonomi penjagaan bersifat seumur hidup, yang mengiktiraf kerja penjagaan tidak berbayar dan menyepadukan penjagaan sosial ke dalam rangka kerja perlindungan sosial kebangsaan.
Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Dr Jemilah Mahmood, yang mencadangkan beberapa langkah untuk memperkasa ekosistem penjagaan warga emas berkata, pelan penjagaan kesihatan caruman kebangsaan dan skim insurans kesihatan amat penting untuk menjamin kelestarian kewangan dalam penjagaan warga emas.
Pengarah eksekutif Sunway Centre for Planetary Health itu mencadangkan agar model inovatif seperti ‘time banking’ diteroka.
Menerusi model ini, individu yang menyediakan khidmat penjagaan warga emas akan memperoleh kredit yang boleh digunakan untuk menerima penjagaan pada masa akan datang, sekali gus memupuk sokongan antara generasi.
Jemilah berkata, pertubuhan masyarakat sivil perlu diperkasakan untuk merangka penyelesaian penjagaan warga emas yang bersesuaian dengan keperluan komuniti setempat, kerana mereka lebih faham keperluan komuniti.
Jabatan Perangkaan sebelum ini memaklumkan, Malaysia dijangka mencapai status negara tua lebih awal daripada jangkaan, dengan unjuran lebih 17% penduduknya berusia 60 tahun ke atas pada 2040.
Setakat tahun lepas, golongan ini merangkumi 11.6%, atau 3.9 juta orang, daripada jumlah keseluruhan 34.1 juta penduduk.
Menjelang 2057, Malaysia akan mencapai kategori masyarakat sangat tua, dengan 20.5% penduduknya diunjurkan berusia lebih 60 tahun.