Sarawak kaya-raya tapi gagal bantu rakyat miskin, dakwa wakil DAP

Sarawak kaya-raya tapi gagal bantu rakyat miskin, dakwa wakil DAP

Chong Chieng Jen mendakwa hasil O&G negeri gagal pertingkat taraf hidup dengan rakyat Sarawak masih menjadi antara yang termiskin di Malaysia.

Chong Chieng Jen
Menurut Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen, ketaksamaan sosial di negeri itu berpunca daripada ‘kegagalan asas dalam tadbir urus’ dan kekayaan tidak diagih sama rata. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen mengkritik kerajaan negeri susulan jurang yang ketara antara kekayaan negeri melimpah-ruah dengan kemiskinan dialami ramai rakyatnya.

Menggelar Sarawak sebagai ‘negeri kaya yang rakyatnya miskin’, Chong berkata, negeri itu kekal sebagai salah sebuah negeri termiskin, dengan kekayaan hasil minyak dan gas (O&G), balak serta komoditi gagal dinikmati oleh rakyat bawahan.

“Ironi terbesar adalah (hasil) Sarawak adalah yang tertinggi antara semua negeri di Malaysia. Tetapi ia tidak diterjemahkan kepada pendapatan untuk rakyat,” katanya kepada FMT.

Sarawak mencatatkan hasil RM14.187 bilion tahun lepas, yang tertinggi dalam sejarah negeri itu. Sebagai perbandingan, Selangor merekodkan hasil negeri sebanyak RM2.8 bilion, manakala Pulau Pinang memperoleh RM810.46 juta.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Perangkaan, setakat Julai 2023, kadar kemiskinan di Sarawak adalah yang ketiga tertinggi di negara ini pada tahap 10.8%, selepas Sabah (19.7%) dan Kelantan (13.2%).

Empat daerah di Sarawak juga tersenarai antara 10 daerah dengan pendapatan kasar isi rumah median yang terendah di seluruh negara.

Chong menyifatkan perbezaan sosial di negeri itu berpunca daripada ‘kegagalan asas dalam tadbir urus’ dan kekayaan tidak diagih sama rata.

Walaupun mengiktiraf beberapa usaha kerajaan negeri, seperti pendidikan tinggi percuma di empat universiti milik negeri, beliau berkata, inisiatif sedemikian terhad.

“Pendidikan percuma hanya ditawarkan di empat universiti milik kerajaan negeri,” katanya.

“Jika lanjutkan pelajaran di universiti lain, walaupun di dalam negara, tidak percuma. Dengan hasil RM14 bilion, kerajaan Sarawak mampu menyediakan pendidikan percuma untuk semua rakyatnya, tidak kira di universiti mana.”

Beliau turut mempersoalkan keutamaan belanjawan kerajaan negeri, merujuk peruntukan RM100 juta pada Mei di bawah Jabatan Premier untuk perkhidmatan sewa khas udara, seperti yang didedahkan dalam Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama 2025.

Timbalan Premier Amar Douglas Uggah Embas kemudiannya menjelaskan, peruntukan itu perlu untuk menampung peningkatan kos perkhidmatan sewa khas udara berikutan lebih banyak kegiatan rasmi dijalankan.

Satu lagi contoh perbelanjaan yang disifatkan Chong sebagai membazir ialah pembinaan tiang bendera berhampiran bangunan DUN di Petra Jaya, yang dilaporkan menelan kos RM30 juta.

“Dengan perbelanjaan tidak cermat dan keutamaan yang salah, negeri perlu pembangkang yang lebih kuat untuk semak dan imbang kerajaan negeri,” tambahnya.

Menurut Adun Padungan itu, perkhidmatan sosial negeri juga jauh terkebelakang, dengan peruntukan kebajikan daripada kerajaan persekutuan jauh lebih besar berbanding sumbangan kerajaan Sarawak sendiri, meskipun negeri itu kaya-raya.

Setakat Mei lepas, 55,457 rakyat Sarawak menerima bantuan berjumlah RM123.78 juta bawah sistem eBantuanJKM. Daripada jumlah ini, RM108.19 juta, yang diagihkan kepada 45,509 penerima, datang daripada kerajaan persekutuan, manakala kerajaan negeri hanya menyumbang RM15.6 juta kepada 9,948 orang.

Chong menggesa agar lebih banyak bantuan tunai secara langsung diberikan, mendakwa lebih 700 keluarga hidup dalam kemiskinan tegar, berpendapatan kurang daripada RM1,200 sebulan, jauh di bawah garis kemiskinan nasional, iaitu RM2,600.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.