
Beliau menggesa polis tidak melayan sukarelawan MUDA Johor itu seperti penjenayah hanya kerana mahu menghantar bantuan terus kepada mangsa banjir tanpa meminta kebenaran Pegawai Daerah (DO) terlebih dahulu.
“Mereka disoal siasat kerana menyampaikan bantuan banjir secara terus kepada pemohon-pemohon yang meminta terus kepada MUDA dan tidak meletakkan bantuan-bantuan mangsa banjir di tempat yang khusus.
“Jangan layan sukarelawan seperti penjenayah sampai nak panggil disoal siasat oleh polis,” katanya melalui satu video mengenai itu di laman Facebooknya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq memohon maaf atas kesilapan itu dan akan mengikut SOP dengan meminta kebenaran DO terlebih dahulu sebelum menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.
Beliau juga berharap pihak berkuasa menggunakan budi bicara dengan memberi kelonggaran bagi penyerahan bantuan kepada mangsa banjir yang memohon terus kepada MUDA.
“Yang meminta bantuan itu adalah rakyat di Johor dan mangsa banjir.
“Mereka ketinggalan, dan ada laporan media kata ramai yang tidak dapat bantuan-bantuan yang telah dijanjikan. Sampai ada yang lapar tunggu makanan,” katanya.
Syed Saddiq menjelaskan disebabkan itu MUDA Johor terus memberi bantuan kepada mangsa banjir yang memohonnya daripada parti itu.
“Di Segamat sahaja, pasukan sukarelawan MUDA Johor telah beri bantuan 500 kotak makanan, 300 bantal, dan 200 tilam,” katanya.