
Naib Presiden, Mahfuz Omar, berkata sukarelawan terbabit wajar menerima pengiktirafan rasmi negara kerana sanggup menghadapi risiko nyawa berdepan tentera Israel dalam misi kemanusiaan tanpa sebarang senjata atau jaminan keselamatan.
Katanya, mereka bertindak atas keberanian moral dan nilai kemanusiaan, bukan untuk mencari nama atau ganjaran, sebaliknya demi membela nasib rakyat Palestin yang dizalimi.
“Walaupun mereka tidak pernah menuntut apa-apa, penghargaan negara amat wajar sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan dan keberanian mereka,” katanya dalam kenyataan.
Mahfuz menegaskan, pengiktirafan melalui penganugerahan pingat kebangsaan daripada Yang di-Pertuan Agong akan memberi makna besar, bukan hanya kepada sukarelawan tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendukung perjuangan Palestin.
Beliau berkata, pengorbanan sukarelawan GSF secara langsung mengangkat imej Malaysia sebagai negara yang konsisten memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
“Ini bukan soal simbolik semata-mata. Ia isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia menghargai rakyatnya yang sanggup bertindak, bukan sekadar bersuara,” katanya.
Katanya, pengiktirafan itu juga penting untuk mendidik generasi muda semangat patriotisme tidak terhad kepada sempadan negara, tetapi juga kepada perjuangan sejagat menentang kezaliman.
“Sukarelawan ini mewakili kekuatan iman dan hati nurani. Keberanian mereka jauh lebih besar daripada senjata. Mereka bukan wira bersenjata, tetapi wira hati nurani bangsa,” katanya.
Penerbangan Emirates EK342 yang membawa semua 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat orang dari kapal pemerhati serta lima peguam mendarat pada 10.07 malam tadi.
Kumpulan sukarelawan itu dijangka diraikan dalam majlis khas bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Axiata Arena, Bukit Jalil, 8 malam ini.
Pada 2 Okt, rejim Israel memintas semua 42 kapal misi kemanusidan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis termasuk 23 dari Malaysia, yang kemudian dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Okt.