Selangor kerah 5,000 sukarelawan 24 jam bantu bersih rumah mangsa banjir

Selangor kerah 5,000 sukarelawan 24 jam bantu bersih rumah mangsa banjir

Langkah itu antara pengukuhan fasa pemulihan negeri dalam memastikan setiap penduduk yang terkesan dapat dibantu.

Ketika ini seramai 4,463 mangsa ditempatkan di 33 PPS di lima daerah seluruh negeri iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor menyusun seramai 5,000 sukarelawan dalam tempoh 24 jam bagi membantu pembersihan rumah mangsa terjejas banjir di negeri itu.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata langkah itu antara pengukuhan fasa pemulihan negeri dalam memastikan setiap penduduk yang terkesan dapat dibantu.

“Kerajaan negeri sedang menyusun seramai 5,000 sukarelawan dalam tempoh 24 jam selepas keadaan banjir mula surut untuk membantu pembersihan rumah-rumah mangsa apabila mereka mula kembali dari pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ketika ini seramai 4,463 mangsa ditempatkan di 33 PPS di lima daerah seluruh negeri iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

“Jumlah penduduk yang terkesan meningkat disebabkan peralihan air dari kawasan utara Selangor ke Kuala Langat dan Sepang,” katanya.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor memasang empat pam di Kuala Selangor dan enam unit pam akan ditambah esok bagi mempercepat proses pemindahan air ke sungai dan mengelakkan takungan.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota polis yang hilang dan dikhuatiri lemas akibat banjir di Sepang dibantu dengan aset tambahan dua unit bot oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

“Kerajaan negeri akan berhubung dengan keluarga mangsa untuk mengemas kini proses SAR dan bersedia membantu sebaik mungkin, dan saya mendoakan agar mangsa dapat dicari dan diselamatkan,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan operasi SAR anggota polis tersebut diteruskan dengan kekuatan kira-kira 60 anggota pelbagai agensi.

Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman, berkata ia digerakkan semula pada 7.30 pagi tadi selepas usaha awal dilakukan sejurus laporan kejadian diterima kira-kira 10.30 malam tadi.

Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dilaporkan berkata seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan diri selepas kereta dinaikinya terperangkap dalam banjir di Sepang lewat malam tadi.

Katanya, terdapat empat mangsa dalam kereta itu, dengan tiga daripadanya berjaya menyelamatkan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.