
Anwar berkata kapal tersebut dipintas secara tidak sah di perairan antarabangsa dan tindakan itu bersifat provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa.
“Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat.
“Saya menuntut agar semua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya, dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana menteri berkata, kerajaan juga berusaha sedaya upaya melindungi rakyat Malaysia yang ditahan dan akan berhubung dengan negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka secepat mungkin.
Terdahulu, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) memaklumkan bahawa sembilan flotilla kapal dipintas oleh tentera Israel, termasuk dua kapal yang membawa rakyat Malaysia. Badan itu berkata tiada maklumat terkini mengenai keadaan mereka yang berada di atas kapal.
Seramai lapan rakyat Malaysia berada di atas kapal Conscience, termasuk tiga doktor iaitu Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, dan Dr Ili Syakira Suhaimi.
Kumpulan itu diketuai oleh ahli akademik Alauddin Ali, dan turut disertai oleh pensyarah Afandi Salleh dan Noorhasyimah Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar, serta wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi ahli akademik Malaysia, Maziah Muhammad, berada di atas kapal Umm Saad.
Secara keseluruhan, 150 peserta daripada 25 negara mengambil bahagian dalam flotilla kemanusiaan tersebut.