Askar dipecat kerana enggan vaksin: Mahkamah Tinggi tetapkan kes 30 Mei

Askar dipecat kerana enggan vaksin: Mahkamah Tinggi tetapkan kes 30 Mei

Wan Ramli Wan Seman memohon deklarasi bahawa pemecatannya pada Ogos lalu menyalahi undang-undang.

Bekas sarjan, Wan Ramli Wan Seman dipecat Ogos lalu selepas enggan disuntik vaksin Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 30 Mei depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman seorang bekas askar berpangkat sarjan yang dipecat kerana enggan disuntik vaksin Covid-19.

Peguam Yasmeen Soh Sha-Nisse berkata, kes itu akan didengar di depan hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

“Tarikh perbicaraan ditetapkan ketika pengurusan kes hari ini di depan Timbalan Pendaftar Siti Nur Hafizah Mohd Sokran,” katanya kepada FMT.

Peguam Persekutuan Liyana Muhammad Fuad mewakili kerajaan.

Soh berkata, pihak-pihak diarahkan memfailkan hujah bertulis sebelum 18 April.

Wan Ramli, yang memfailkan permohonan itu pada September, memohon deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya pada Ogos terbatal dan tidak sah serta tidak berkesan.

Pemohon sebelum ini yang bertugas di Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan sepatutnya tamat perkhidmatan pada 20 Jan 2023.

Perkhidmatannya bagaimanapun ditamatkan atas empat kesalahan di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.

Beliau juga hilang pencen yang sepatutnya diterima dalam tempoh 16 bulan apabila bersara.

Wan Ramli berkata, sebagai warganegara dan anggota angkatan tentera, haknya mengikut Perkara 5(1) dan 8(1) telah dicabul.

Katanya, disebabkan pemecatannya, beliau hilang hak untuk mendapat pencen di bawah Perkara 147, iaitu hak yang dilindungi mengikut Perkara 13(1).

Timbalan Panglima Tentera Darat, Mohammad Ab Rahman dalam afidavit jawapannya berkata, kegagalan Wan Ramli mematuhi Perintah Tetap Angkatan Tentera dianggap kesalahan di bawah Akta Angkatan Tentera.

“Sebagai anggota tentera, pemohon perlu patuh kepada perintah tetap dan perintah sah dikeluarkan pegawai atasan. Sebarang pelanggaran…tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Mohammad berkata, tentera menetapkan semua anggota yang tidak tergolong dalam kumpulan tidak layak menerima vaksin, wajib divaksin dan tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka yang mengingkari arahan itu.

Katanya, vaksinasi diwajibkan kerana anggota tentera hidup secara berkelompok dan melakukan tugasan harian secara berkumpulan, seterusnya penting untuk mencegah jangkitan dan kewujudan kluster dalam kalangan anggota.

Selain itu katanya, kelayakan pencen bukan hak mutlak kerana tertakluk kepada jumlah tahun perkhidmatannya, iaitu tidak kurang daripada 21 tahun. Sebaliknya, Wan Ramli hanya berkhidmat 19 tahun setakat 26 Ogos 2021.

Wan Ramli, 39, menamakan Lt Kol Sharull Hesham Md Yasin, Lt Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima Tentera Darat, Jeneral Zamrose Mohd Zain, Angkatan Tentera Malaysia dan kerajaan sebagai responden.

Mohammad telah memfailkan afidavit bagi pihak responden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.