Polis P Pinang buka 171 kertas siasatan tatatertib babit anggota, penjawat awam

Polis P Pinang buka 171 kertas siasatan tatatertib babit anggota, penjawat awam

Siasatan berhubung kes tatatertib meningkat 35.71% berbanding 2020 dengan kes melibatkan 43 pegawai, 269 anggota dan dua kakitangan awam dalam pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan mereka yang terlibat dalam salah laku serta tindakan tatatertib akan diambil bagi menjaga nama baik pasukan polis.
GEORGE TOWN:
Polis Pulau Pinang membuka 171 kertas siasatan tatatertib membabitkan 314 pegawai dan anggota serta kakitangan awam di kontinjen negeri itu sepanjang tahun lalu, meningkat 35.71% berbanding 2020.

Ketua Polis negeri, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semua kertas siasatan itu melibatkan 43 pegawai, 269 anggota dan dua kakitangan awam membabitkan pelbagai kesalahan.

“Sepanjang tahun lepas kami buka 171 kertas siasatan, iaitu kes tatatertib sebanyak 107, jenayah (33), dadah (17), tidak hadir tugas atau pembolosan (lapan), kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (empat) dan dua lagi membabitkan kes syariah.

“Daripada 314 orang itu, 28 orang masih dalam siasatan untuk diambil tindakan antaranya gantung, tahan dan dibuang kerja. Setelah Lembaga Tatatertib bersidang dan membuat keputusan serta hukuman dijatuhkan, barulah mereka ini akan berada dalam statistik hukuman,” katanya pada Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Kontinjen Pulau Pinang.

Beliau berkata, kesalahan membabitkan pegawai dan anggota polis menunjukkan peningkatan 45 kes pada 2020 berbanding tahun lepas, iaitu 126 kertas siasatan direkodkan dan pihaknya tidak berkompromi dengan mereka yang terlibat dalam salah laku serta tindakan tatatertib akan diambil demi menjaga nama baik pasukan polis.

Sementara itu, Shuhaily berkata, kadar jenayah di Pulau Pinang mencatatkan penurunan 27.3%, iaitu 3,381 kes sepanjang 2021, berbanding nilai ambang 5,269 kes bagi tempoh sama.

Katanya, kajian dan siasatan dijalankan mendapati kes jenayah menurun tahun lepas berikutan beberapa perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan dan kehadiran polis di kawasan tumpuan menyebabkan penjenayah tidak berani melakukan jenayah.

“Nilai ambang dijadikan kayu pengukur yang digunakan Interpol dalam kajian jenayah di seluruh dunia. Dalam konteks jenayah harta benda adalah 2,900 kes sahaja dengan nilai ambang jenayah harta benda berjumlah 4,263 kes, menunjukkan penurunan 1,303 kes, iaitu sebanyak 31%.”

Beliau berkata, bagi kes jenayah kekerasan ialah 931 kes dan ia juga menurun 12.7% berbanding nilai ambang 1,666 kes.

“Kalau ambil kedua-dua jenis jenayah ini, kita dapat lihat jenayah kekerasan turun, tapi tidak mendadak seperti mana jenayah harta benda. Ini kemungkinan besar disebabkan pergerakan masyarakat yang dihadkan dengan pelan pemulihan negara tempoh hari. Justeru jenayah harta benda berlaku disebabkan ruang dan peluang, apabila masyarakat tidak bergerak, maka risiko itu dapat dikurangkan.

Shuhaily berkata, sebanyak 70% jenayah direkodkan sepanjang tahun lalu membabitkan penjenayah mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.