
Ahli Majlis Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) A Sivanathan berkata, peruntukan dalam Akta PERKESO membolehkan kerajaan membuat peraturan baharu.
Mukadimah akta itu menyebut menteri yang bertanggungjawab mempunyai kuasa untuk membuat peraturan dalam sebarang kontingensi dan Seksyen 105(2)(vii) membenarkan menteri memutuskan kriteria dan kelayakan pekerja untuk mendapat manfaat secara tunai.
“Banjir yang melanda baru-baru ini boleh dianggap sebagai satu kontingensi dan kerajaan boleh membuat peraturan di bawah Akta PERKESO berdasarkan peruntukan sedia ada, jadi pekerja tidak perlu menunggu bantuan tunai,” katanya kepada FMT.

Menurut Akta PERKESO, pekerja diberi perlindungan di bawah Skim Insurans Kecederaan Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.
Sivananthan secara khususnya merujuk kepada peruntukan dalam Skim Insurans Kecederaan yang memperuntukkan bahawa pekerja akan mendapat pampasan sekiranya ditimpa kemalangan atau penyakit di tempat kerja atau dalam perjalanan ke tempat kerja mahupun disebabkan persekitaran tempat kerja.
Katanya, ramai pekerja terpaksa bekerja di rumah disebabkan pandemik Covid-19 dan kerugian serta kehilangan harta benda yang dialami menyebabkan tekanan mental dan memburukkan keadaan kesihatan.
“Ini boleh dikenal pasti sebagai kecederaan di tempat kerja dan menteri mempunyai hak untuk menggunakan peruntukan di bawah Skim Insurans Kecederaan Pekerjaan bagi melayakkan pekerja di semua sektor yang terjejas diberi akses kepada dana PERKESO mereka,” katanya.
Sivanathan turut berkata, waris yang terkorban dalam banjir sepatutnya layak mendapat manfaat tanggungan.
Katanya, menteri berusaha untuk mewujudkan undang-undang mengenai pengurusan bencana dan kewangan sejak 2014.
“Namun ia mengambil masa kerana Parlimen tidak dapat mencapai persetujuan. Rakyat memerlukan bantuan tunai segera dan cara terbaik untuk membantu ialah dengan menggunakan peruntukan sedia ada di bawah Akta PERKESO.
“Kerajaan perlu buka mata dan jangan melewatkan apa yang sepatutnya diberikan kepada pekerja,” katanya.