SARA bantu pasangan sedia keperluan anak istimewa

SARA bantu pasangan sedia keperluan anak istimewa

Sumbangan Asas Rahmah digunakan untuk beli keperluan asas termasuk lampin pakai buang dan susu khas.

SARA Bantu anak Istimewa
Sumbangan Asas Rahmah bantu pasangan Khairi Saman dan Azlina Abdullah menyediakan keperluan asas anak istimewa mereka.
KUALA LUMPUR:
Kasih sayang dicurahkan Khairi Saman, 62, dan isterinya, Azlina Abdullah, 47, terhadap Muhammad Abdul Faris, 13, membuktikan keikhlasan tidak memerlukan pertalian darah.

Walaupun Faris adalah anak angkat dengan masalah kesihatan, pasangan ini menganggap kehadirannya sebagai punca limpahan rezeki, tambahan pula dengan adanya sokongan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Dijaga mereka seawal usia empat bulan, Faris dilahirkan dengan masalah saluran pemakanan sempit selain tidak mampu berjalan atau bercakap dengan sempurna.

“Dia hanya boleh mengesot, walaupun tak boleh cakap tapi dia faham. Bila kita cakap dengannya, dia akan respons dengan cara tersendiri.

SARA Bantu anak Istimewa
Muhammad Abdul Faris disahkan mengalami masalah saluran pemakanan sempit sejak lahir.

“Mungkin Allah sudah buka pintu hati saya. Sesukar mana pun, saya mahu jaga dan korbankan apa saja kerana saya sangat sayangkan anak ini,” kata Khairi, yang mengusahakan gerai makan di Projek Perumahan Rakyat Pantai Ria, Pantai Dalam.

Dalam usaha memastikan kehidupan remaja itu sentiasa terjaga, Khairi mengakui kos keperluan asas seperti lampin pakai buang dan susu khas perkara paling diutamakan memandangkan Faris tidak boleh menghadam makanan pejal.

Khairi berkata, memandangkan harga lampin dan susu masing-masing sekitar RM30 dan RM25 sepeket, bantuan SARA disifatkan sebagai rahmat yang meringankan beban perbelanjaan bulanan mereka.

“Alhamdulillah, bila dapat bantuan SARA, kami terus gunakan beli lampin dan susu. Perniagaan saya pun keuntungan tak menentu, ada naik dan turun… jadi dengan SARA, kebajikan dia (Faris) sentiasa terjaga.

SARA Bantu anak Istimewa
Khairi Saman menggunakan picagari untuk menyalurkan minuman ke dalam tiub hidung anaknya.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana bantuan ini serba sedikit menampung keperluan dan ia amat bermakna,” katanya yang mempunyai empat anak lain.

Bagi Khairi dan Azlina, sokongan kerajaan melalui inisiatif SARA adalah keprihatinan yang amat dihargai keluarga mereka.

Pada 9 Jan lalu, bantuan SARA bulanan bagi 2026 mula diagihkan, melibatkan lima juta penerima merangkumi 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas bujang. Bagi 3.1 juta rakyat berstatus bujang pula, bantuan mula diagihkan pada 16 Jan.

Bantuan SARA dikreditkan menerusi MyKad penerima yang layak dan boleh digunakan untuk membeli lebih 100,000 barangan dalam 14 kategori.

Tahun ini pembelian boleh dilakukan di 10,000 kedai runcit dan pasar mini berbanding hanya 3,000 kedai tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.