Ain dipanggil beri keterangan terperinci kes komen lucah

Ain dipanggil beri keterangan terperinci kes komen lucah

Remaja itu memberi keterangan di IPD Kajang selama dua jam bersama bapanya.

Ain Husniza yang kelihatan penat di hadapan IPD Kajang selepas disoal siasat selama dua jam semalam. (Gambar Saiful Nizam)
PETALING JAYA:
Ain Husniza, remaja yang mengetuai gerakan #MakeSchoolASaferPlace dipanggil polis untuk memberi keterangan terperinci berhubung komen berbaur lucah dalam talian terhadapnya.

Ini berikutan laporan dibuat pelajar itu dan bapanya, Saiful Nizam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang baru-baru ini, susulan catatan menyinggung perasaan di laman Tumblr yang dibuat oleh bekas rakan sekelas Ain.

Saiful berkata, mereka pergi ke balai polis itu sekitar 10 malam semalam dan berada di sana kira-kira dua jam, sebelum pulang sekitar tengah malam.

“Dia ditanya mengenai seluruh kejadian dari mula, bagaimana dia tahu mengenai akaun Tumblr dan pelaku itu.

“Ain ditemani saya dan isteri. Tiada pegawai wanita langsung,” katanya kepada FMT.

Saiful berkata, Ain “agak kecewa” dan penat dengan siasatan polis.

“Ada yang agak mengecewakan (dan) mencabar dari segi emosi serta mental.”

Suspek dilaporkan berkongsi tangkap layar catatan menyinggung perasaan itu. Dalam satu catatan itu, dia berkongsi fantasi seks lucah mengenai Ain.

Saiful turut berkongsi catatan lucah lain yang didakwanya ditulis oleh individu sama.

Baru-baru ini, polis mengesahkan mereka sedang menyiasat komen berbaur lucah yang dibuat dalam talian terhadap Ain.

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata, catatan menyinggung perasaan di laman Tumblr itu dipadamkan selepas Ain menghubungi pelakunya yang digambarkan polis sebagai rakan sekelas di sekolah lamanya.

Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.