
Beliau berkata, ia terdiri daripada kaedah serahan tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), serahan tunai rumah ke rumah dan pindahan tunai secara dalam talian (EFT).
“Kaedah ini dilaksanakan untuk memudahkan urusan penyaluran BWI kepada mangsa dengan lebih efektif dan pantas, dengan hanya pengesahan oleh Ketua Komuniti yang dipertanggungjawabkan tanpa perlu mengisi sebarang borang permohonan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, ia adalah antara perkara diputuskan dalam mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir, dipengerusikannya di Perdana Putra di sini, hari ini.
Mesyuarat turut dihadiri oleh antaranya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Aminuddin Hassim.
Mohd Zuki berkata, BWI sebanyak RM1,000 untuk ketua isi rumah (KIR) dan RM10,000 untuk waris mangsa bencana yang meninggal dunia telah disalurkan kepada pihak negeri dan ia diselaraskan di peringkat PKOB dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM34 juta untuk disalurkan kepada 34,000 KIR di negeri-negeri yang terjejas banjir dan mula dibayar pada hari ini.
“Jumlah anggaran ini adalah berdasarkan maklumat KIR yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS). Usaha mengenal pasti mangsa yang tidak berdaftar sedang giat dilaksanakan oleh PKOB dan ICU untuk memastikan bantuan dapat disalurkan segera,” katanya.
Zuki berkata, mesyuarat hari ini memutuskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengatur gerak sinergi aset-aset kerajaan dan keperluan aset daripada pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu bagi pengurusan pembersihan pascabanjir.
“Usaha itu akan dibantu secara langsung oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) khususnya menerusi penyediaan stesen pemindahan sisa pepejal sementara yang dikenal pasti di kawasan terdekat dengan kawasan terjejas banjir secara transit,” katanya.
Katanya, polis pula akan membantu memastikan kelancaran laluan jentera pembersihan untuk mempercepatkan penghantaran sisa pepejal pembersihan ke stesen yang ditetapkan.
Zuki berkata, mesyuarat juga memutuskan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyelaras pembahagian kawasan angkat terjejas banjir kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
“JPA juga menyelaras usaha mobilisasi anggota perkhidmatan awam bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat memutuskan pembaikan segera infrastruktur asas seperti jalan perhubungan, tebatan banjir, pembentungan, saliran dan utiliti diselaraskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan KASA melalui kaedah perolehan yang dipermudahkan bersama-sama Kementerian Kewangan (MOF) demi kepentingan awam.