Malaysia kukuh sokongan misi kemanusiaan ke Gaza

Malaysia kukuh sokongan misi kemanusiaan ke Gaza

Menteri penaung GSF2.0 Amirudin Shari berkata sokongan terhadap perjuangan itu turut semakin lantang di Eropah.

Amirudin Shari sumud bernama pic 4526
Menteri penaung GSF2.0, Amirudin Shari berkata Malaysia satu-satunya negara memberikan pengiktirafan rasmi di peringkat kerajaan terhadap misi bantuan ke Gaza. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Kerajaan menegaskan pendirian untuk terus menyokong misi kemanusiaan ke Gaza meskipun berdepan cabaran susulan insiden penahanan peserta Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF2.0), termasuk rakyat Malaysia oleh rejim Israel pada 1 Mei lepas.

Menteri Besar Selangor yang juga menteri penaung GSF2.0, Amirudin Shari berkata sokongan konsisten Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencerminkan komitmen negara dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

“Sudah pasti sokongan kita akan bertambah kuat kerana kita hargai pengorbanan aktivis, termasuk dari Malaysia yang bersedia mengorbankan masa, wang dan juga keselesaan mereka. Saya rasa Malaysia kena bangga dengan penyertaan aktivis-aktivis ini kerana mereka datang dengan sukarela.

“Mereka mendedahkan diri kepada risiko semata-mata untuk ‘Break the Silence’ dan ‘Break the Siege’, dua misi yang dilakukan secara konsisten,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat operasi Sumud Nusantara Command Center (SNCC).

Beliau berkata pengurusan misi kali ini juga dilihat lebih tersusun dan teratur, sekali gus meningkatkan keyakinan bahawa matlamat misi berkenaan semakin hampir dicapai atau sekurang-kurangnya berjaya memperkukuh suara antarabangsa mengenai isu Gaza.

Beliau berkata sokongan terhadap perjuangan itu turut semakin lantang di Eropah, mendorong Malaysia mengambil pendirian jelas dalam menyokong usaha berkenaan.

Amirudin berkata Malaysia kini merupakan satu-satunya negara memberikan pengiktirafan rasmi di peringkat kerajaan terhadap misi tersebut, berbanding negara lain yang hanya menyalurkan sokongan secara individu, kewangan atau moral.

“Pendekatan ini turut menarik perhatian negara lain, yang menghargai kesediaan Malaysia dan perdana menteri untuk menjadi penaung bukan sahaja secara individu, tetapi atas kapasiti rasmi kerajaan,” katanya.

Amirudin berkata misi kemanusiaan itu bukan hanya melibatkan umat Islam, sebaliknya disertai pelbagai pihak termasuk dari Eropah dan Nusantara dalam usaha memecahkan kepungan di Gaza serta meningkatkan kesedaran global.

Beliau berkata misi kali ini melibatkan dua pendekatan iaitu darat dan laut, menerusi penghantaran bantuan darat melalui Rafah, dengan 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan sedang dalam perjalanan.

Amirudin berkata proses penghantaran bantuan memerlukan pematuhan kepada beberapa protokol di negara terlibat, khususnya dalam usaha melepasi sempadan.

Namun, beliau berkata pengalaman terdahulu menunjukkan sebanyak 100 kontena bantuan telah dihantar sebelum ini, termasuk 40,000 tin makanan yang disediakan menjelang Ramadan dan Aidilfitri berjaya sampai ke rakyat Palestin.

Beliau berkata pihaknya akan mengemas kini perkembangan misi termasuk di Rafah selepas semua urusan berkaitan penghantaran selesai dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata tindakan menghalang pergerakan misi GSF2.0 di perairan antarabangsa sejauh kira-kira 1,000km atau 600 batu nautika dari Gaza menunjukkan keadaan terdesak rejim Israel serta mendapat perhatian meluas masyarakat dunia.

“Suara di Eropah semakin kuat dan Malaysia akan terus mengambil pendekatan damai dengan pendirian tegas serta tindakan lebih berani, termasuk pendirian yang telah ditunjukkan oleh kerajaan.

“Saya juga percaya bahawa pendirian Malaysia ini sebenarnya mengajak negara lain untuk turut serta, sekali gus menjadi contoh kepada negara-negara lain untuk memberikan pengiktirafan yang sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.