
Menurut beliau, bantuan itu akan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Selain itu, seramai 454 pelajar yang terjejas akan menerima bantuan persekolahan sebanyak RM300 setiap seorang,” katanya selepas melawat Kampung Bahagia hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud.
Anwar juga memaklumkan Kementerian Dalam Negeri akan menggantikan dokumen pengenalan diri seperti MyKad, sijil kematian dan sijil perkahwinan milik mangsa secara percuma.
“Kementerian mempunyai rekod lengkap bagi mengesahkan status kewarganegaraan mangsa yang terlibat,” katanya.
Lebih 9,000 penduduk terpaksa dipindahkan selepas kira-kira 1,000 rumah musnah dalam kebakaran tersebut, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kerajaan Sabah sebelum ini telah menyalurkan bantuan sebanyak RM2,000 kepada setiap keluarga terjejas.
Setiap ketua isi rumah menerima RM1,000 bantuan khas daripada kerajaan negeri dan RM1,000 lagi daripada Yayasan Kebajikan Sabah.