
Jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil berkata perkara itu bukan lagi di peringkat siasatan, justeru langkah seterusnya kini diuruskan secara pentadbiran oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar.
“Setakat pemahaman saya, jika yang dirujuk ialah siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham, perkara itu telah pun selesai,” katanya menurut Berita Harian, di Bukit Mertajam.
Fahmi berkata, dapatan jawatankuasa siasatan khas telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan tindakan seterusnya akan ditentukan oleh KSN.
“Proses seterusnya kini diuruskan oleh KSN. Keputusan muktamad akan dibuat berdasarkan apa yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri.”
Peguam Negara Dusuki Mokhtar dilantik mengetuai jawatankuasa khas berkenaan bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham tersebut.
Jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.
Terdahulu, Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.
Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.
Susulan itu, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan agensi berita antarabangsa itu.
Azam dalam kenyataan terdahulu, berkata beliau tidak mempunyai perkara disembunyikan dan telah membuat pengisytiharan kewangan dan harta selaras peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi.
Beliau menegaskan tiada sesiapa harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata.