Tak pernah lantik orang tengah untuk hubungi saya, kata ‘Abang Viva’

Tak pernah lantik orang tengah untuk hubungi saya, kata ‘Abang Viva’

Azwan Omar menjelaskan sedemikian susulan dimaklumkan bahawa ada pihak yang menggunakan namanya bagi mengaut keuntungan.

Baru-baru ini, tular kisah Azwan Omar menggunakan kereta Vivanya dari Melaka membawa bot ke lokasi banjir di Shah Alam berbekalkan hanya RM50.
PETALING JAYA:
Individu yang tular sebagai “Abang Viva” di media sosial baru-baru ini menjelaskan kepada orang ramai, beliau tidak pernah melantik sesiapa menjadi orang tengah bagi menghubunginya.

Azwan Omar menjelaskan sedemikian menerusi catatan di akaun Facebook miliknya susulan dimaklumkan bahawa ada pihak yang menggunakan namanya bagi mengaut keuntungan.

“Sejujurnya, saya tak pernah melantik sesiapa untuk menjadi PA (pembantu peribadi) atau orang tengah jika ingin menghubungi saya, dan juga saya tidak pernah mengenakan apa-apa bayaran jika ingin menggunakan khidmat saya, apatah lagi jika ingin bercakap dengan saya semata-mata.

“Saya memohon maaf jika saya terlambat atau tidak menjawab panggilan kerana mungkin saya sedang bekerja,” katanya.

Beliau turut menyertakan nombor telefonnya di catatan tersebut.

Semalam dilaporkan seorang usahawan meminta bantuan warganet menghubungi Azwan untuk menghadiahkan sebuah kereta baharu.

Pengarah Shalicious Empire Wan Siti Aishah Wan Hasan berkata, beliau sendiri telah cuba menghubungi Azwan beberapa kali, namun tidak berjaya.

FMT sebelum ini melaporkan kisah Azwan berbekal RM50 dan bot bergegas dari Melaka ke Shah Alam dengan kereta Vivanya bagi membantu mangsa banjir.

Keputusan spontan Azwan Sabtu lepas menyelamatkan nyawa puluhan mangsa yang terperangkap dalam kediaman susulan banjir yang disifatkan terburuk di Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.