
“Siapa kita hendak menolak takdir sang Pencipta, nak,” ujarnya perlahan ketika didekati wartawan FMT di Kampung Sungai Lui, lima hari selepas Hulu Langat dilanda banjir buruk hingga menyebabkan sebahagian besar penduduk tinggal sehelai sepinggang, tanpa elektrik, air bersih, dan makanan.
Nor Saadah Ahmad Rus, 56, sudah biasa berdepan banjir yang berlaku saban tahun, tetapi bencana yang datang pada Sabtu umpama pengakhiran hidup bagi beliau dan suaminya.
Memakai but kuning dan berbekalkan sebotol air kosong, Saadah meneruskan pencariannya dengan harapan dapat menemui sebarang kenangan bagi kehidupan yang bersisa.

Saadah tidak kekok berkongsi saat getir yang dilalui beliau dan suami pada malam gelap pekat itu.
“Air naik ke dalam rumah begitu cepat, macam mengejar kami. Dalam hati dah fikir, adakah ini kiamat?” katanya.
“Kami hanya mampu ungkap kalimah ‘Lailahaillallah’ (tiada Tuhan selain Allah) untuk redakan ketakutan pada waktu itu.”
Katanya, air mula meninggi hingga ke lantai pada 9 malam, dan kemudian naik ke bumbung hanya dalam tempoh satu jam selepas itu.

Saadah memberitahu, banjir berarus deras memutuskan bekalan elektrik dan menyukarkan mereka melihat kejadian sebenarnya di luar rumah.
“Saya dan suami hanya dengar bunyi dentuman demi dentuman…sambung-menyambung, mungkin runtuhan pokok yang merempuh rumah jiran-jiran. Ketika air deras, kami dengar suara jiran sebelah rumah menjerit-jerit meminta tolong,” katanya.
Jiran terbabit, Enon Mohamed, 60, bersama suami – seorang pesakit strok ringan – dan tiga anaknya sempat menyelamatkan diri ke rumah Saadah.
Di rumah Saadah, dua wanita kental ini segera bertindak untuk menyelamatkan keluarga mereka.

“Waktu air naik begitu pantas, kami tidak fikir panjang…terus susun almari, mesin jahit, kerusi untuk naik ke atas siling bumbung rumah,” kata Enon.
“Suami saya (sakit) strok ringan…waktu itu memang sangat mencabar kerana dia memang tak kuat nak naik (ke bumbung). Kami beramai-ramai tolak dan tarik suami hingga ke atas.”
Dalam ruang sempit antara bumbung dan siling itu, mereka bertujuh berlindung dari 10 malam hingga 7 pagi.

Apabila air menunjukkan tanda-tanda hendak surut, masa untuk turun tapi ‘tangga’ sementara yang disusun untuk naik ke bumbung sudah dibawa arus. Suami Enon terpaksa melompat ke bawah.
“Bayangkan, ketika hendak turun, segala objek yang kami susun pada malam itu sebagai ‘tangga’ hilang dibawa arus deras. Nak tak nak, dengan ketinggian kira-kira dua meter, seorang demi seorang dari kami melompat ke bawah.”

Enon bersyukur ahli keluarganya terselamat dalam bencana itu, namun sedih ‘mahligai’ yang dibina bersama suami hampir 40 tahun lalu musnah sepenuhnya.
Beliau akui tidak nampak kelibat anggota keselamatan ketika situasi panik itu.
“Malam itu, anak jerit-jerit minta tolong tapi tiada seorang pun yang datang bantu, seorang anggota penyelamat pun kami tidak nampak,” katanya dalam nada kecewa.
Beberapa jam sebelum itu, di Kampung Batu 19, kira-kira 10 minit dari rumah Saadah, Ramli Ahmad, 49, bersama isteri dan anak cepat-cepat menyelamatkan dokumen-dokumen penting apabila air sudah mula meninggi pada 8 malam.
Ramli keluar dan mengalihkan kereta ke tepi jalan. Namun lebih kurang sejam kemudian, air sudah melepasi tayar belakang keretanya.
“Saya terfikir untuk ambil bot nak selamatkan keluarga dan kereta. Bila dah ambil bot, saya datang balik tengok kereta dah hilang dibawa arus deras,” katanya kepada FMT.
“Masa itu beranda rumah sudah terkena hentaman air banjir dan dalam sekelip mata air dah sampai bumbung. Saya sempat berpaut pada kayu bumbung rumah sebelum dinding dan struktur rumah ‘ditelan’ arus.”

Dalam detik cemas itu, Ramli sekeluarga reda sekiranya itu pengakhiran hidup mereka.
“Berbekalkan kayu buluh, kami beralih dari pokok ke pokok…ketika itu arus makin kuat, kami dah tak boleh kawal lagi dan hanya ikut arus yang membawa kami.
“Bot kami kemudian tersangkut di rimbunan pokok buluh dan bergayut di sana dari 10 malam hingga 6 pagi,” katanya, yang bersyukur banjir mulai surut pada pagi Ahad.

Ramli memberitahu jarak antara kediaman di situ agak jauh dan menyukarkan mereka membantu satu sama lain.
“Masing-masing selamatkan diri sendiri… kebanyakan penduduk hanya mampu berlindung di atas bumbung rumah masing-masing.”

Ramli berkata bengkel motor miliknya yang terletak sebelah rumah turut ‘dibaham’ banjir.
Walaupun banjir di Hulu Langat sudah surut, bencana yang disifatkan penduduk ibarat “bayangan kiamat” itu tidak sesekali akan lenyap dari ingatan.
Setiap kesakitan dan pengalaman sudah pasti meninggalkan parut yang amat dalam.