
SKMM dalam kenyataan memaklumkan Prime iaitu kenderaan mudah alih dilengkapi sokongan komunikasi digerakkan ke Kampung Cendrakasih dan Penampang bagi membantu pasukan penyelamat serta menyokong kerja-kerja pemulihan infrastruktur oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pada masa sama, sebanyak 131 Nadi turut diaktifkan untuk menyediakan capaian internet kepada masyarakat terkesan agar mereka kekal berhubung dengan keluarga dan pihak berkuasa.
Sehingga kini, sebanyak 266 menara telekomunikasi terjejas akibat gangguan bekalan elektrik dan daripada jumlah itu, lebih separuh atau 147 menara kembali beroperasi, dengan kerja-kerja pemulihan giat dilaksanakan secara berperingkat bersama syarikat telekomunikasi.
SKMM juga menubuhkan pasukan petugas bersama syarikat telekomunikasi dan SESB bagi memantau keadaan semasa di tapak terkesan.
Mesyuarat berkala memberi tumpuan kepada penyelarasan pemulihan collector sites (tapak utama yang mengawal liputan komunikasi di kawasan sekitarnya) dan tapak kritikal yang dikenal pasti sebagai sasaran penting, selain memastikan penyaluran bekalan kuasa sementara melalui set generator bagi mempercepat proses pemulihan komunikasi.
“SKMM akan terus bekerjasama dengan agensi penyelamat, syarikat telekomunikasi serta pihak berkuasa negeri dan Persekutuan bagi memastikan komunikasi dan capaian internet di kawasan terjejas dapat dipulihkan segera demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah,” menurut kenyataan itu.