Fokus bantu rakyat terkesan bencana, bukan bubar DUN, kata Hajiji

Fokus bantu rakyat terkesan bencana, bukan bubar DUN, kata Hajiji

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kebajikan rakyat perlu diutamakan dahulu sebelum menumpukan kepada perkara lain seperti hal politik.

Hajiji Noor berkata kerajaan negeri dan Persekutuan telah mula menyalurkan bantuan kepada mangsa terlibat, antaranya Bantuan Wang Ihsan RM1,000 untuk mangsa banjir dan RM10,000 kepada waris kehilangan ahli keluarga. (Gambar JKM)
PAPAR:
Semua pihak tanpa mengira latar belakang perlu meletakkan fokus utama membantu rakyat yang dilanda bencana terutama tanah runtuh dan banjir pada masa ini, kata Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Justeru, beliau menyeru semua supaya melupakan dahulu perkara lain antaranya politik, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), mahupun PRN kerana kebajikan rakyat perlu diutamakan.

“Tidak mahu fikir, bubar-bubar tak mahu fikir lagi. Bubar belum lagi kami fikir. Kami fokus untuk memberi bantuan kepada mereka yang terlibat. Ini masanya untuk kita tunjukkan perbezaan politik bukan batas, kita mahu membantu.

“Dalam kita menghadapi musibah, semua pihak termasuk agensi kerajaan mesti digembleng untuk membantu. Jangan dulu kita fikir politik-politik ini. Jangan dijadikan isu itu dan ini, bantu rakyat kita dahulu,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melawat Kampung Mook di sini bagi menziarahi keluarga mangsa terlibat dengan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan Emily Johnny, 38, dan anaknya Xarell Myre Aristothle, 11, setelah tertimbus dalam kejadian pada 15 Sept lepas.

Hajiji berkata kerajaan negeri dan Persekutuan telah mula menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat antaranya Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 bagi mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan dan BWI RM10,000 kepada waris mangsa meninggal dunia.

“Ada juga bantuan daripada Yayasan Sabah. Rumah yang runtuh itu ada tiga rumah kita bantu RM30,000 setiap rumah diharap dapat meringankan beban mereka yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini kerajaan negeri dan persekutuan juga sedang berusaha untuk memulihkan kehidupan rakyat dan negeri berkenaan yang dilanda bencana besar sebelum ini.

Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,897 orang daripada 813 keluarga dari 107 kampung setakat 8 pagi ini, berbanding 2,813 mangsa daripada 752 keluarga semalam.

Sebanyak 13 orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak Jumaat lepas di negeri berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.