Wang ihsan akan disalur kepada mangsa bencana Sabah

Wang ihsan akan disalur kepada mangsa bencana Sabah

RM1,000 akan diberi kepada ketua isi rumah yang berpindah ke PPS, manakala waris mangsa terkorban akan terima RM10,000.

Bantuan wang ihsan akan diberi kepada mangsa bencana di Sabah yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Bantuan Wang Ihsan (BWI) antara RM1,000 hingga RM10,000 akan disalurkan kepada mangsa bencana di Sabah bagi meringankan beban yang ditanggung ketika ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang berpindah ke pusat pemindahan sementara.

Waris mangsa yang terkorban akibat bencana turut menerima BWI kematian sebanyak RM10,000.

“BWI diberikan kepada warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am. Kerajaan turut menyalurkan bakul makanan kepada semua penduduk yang terjejas,” menurut kenyataan.

JPBN Sabah turut memaklumkan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan pusat menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi penyaluran bantuan kewangan, penyediaan Jambatan Bailey dan pelbagai bantuan lain bagi memastikan bencana dapat ditangani dengan baik.

Pihak berkuasa tempatan bersama agensi berkaitan sedang giat menjalankan pemantauan, menyalurkan bantuan serta mengurus koordinasi logistik bagi menjamin keselamatan dan kebajikan mangsa.

“Semua agensi penyelamat dan tindak balas di bawah JPBN Sabah sedang digerakkan sepenuhnya bagi menangani bencana alam yang melanda negeri ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.