
Penduduk dikatakan mula pulang untuk membersihkan rumah masing-masing walaupun ada yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut laporan Harian Metro, penurunan jumlah mangsa banjir membabitkan daerah Bentong dengan 4,700 mangsa, yang melibatkan 1,597 keluarga di 17 PPS, manakala Raub mempunyai 176 mangsa banjir daripada 48 keluarga di tiga PPS.
Jerantut mempunyai 605 mangsa daripada 131 keluarga di 13 PPS, makanala 894 mangsa daripada 281 keluarga berada di sembilan PPS di Lipis.
Di Kuantan pula, 9,646 mangsa daripada 2,845 keluarga berada di 34 PPS.
Bagaimanapun, di daerah Temerloh, Bera, Maran dan Pekan, bilangan mangsa dilaporkan meningkat berikutan air Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Semantan kini bergerak ke hilir.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata, pada masa ini, jumlah mangsa banjir adalah 33,844 orang membabitkan 10,051 keluarga di 244 PPS.
Katanya, bilangan mangsa di Temerloh meningkat kepada 12,663 orang daripada 3,629 keluarga di 79 PPS berbanding 12,275 mangsa daripada 3,514 keluarga di 81 PPS petang semalam.
“Mangsa banjir di Bera meningkat kepada 2,282 daripada 654 keluarga di 22 PPS berbanding petang semalam, iaitu 2184 mangsa dipindahkan ke 20 PPS membabitkan 623 keluarga. Manakala Maran pula membabitkan 1,183 mangsa daripada 332 keluarga di 28 PPS, berbanding 1,160 semalam.
“Angka di Pekan turut meningkat dengan 1,790 mangsa banjir daripada 534 keluarga di 21 PPS pagi ini, berbanding 1,745 mangsa dipindahkan daripada 520 keluarga di 21 PPS petang semalam,” katanya.
Selain itu, lebih banyak jalan kini dibuka kecuali di daerah yang masih dinaiki air.