‘Pening nak cuci rumah, mana ada masa beratur di balai polis’, keluh mangsa banjir

‘Pening nak cuci rumah, mana ada masa beratur di balai polis’, keluh mangsa banjir

Mangsa banjir dikehendaki membuat laporan polis dan melampirkan gambar kemusnahan banjir serta salinan kad pengenalan untuk memohon bantuan RM1,000 daripada Putrajaya.

Mangsa banjir menyarankan bantuan kerajaan disalurkan terus menerusi ketua kampung atau wakil rakyat kerana mereka sibuk membersihkan rumah dan tiada masa membuat laporan di balai polis.
KLANG:
Penduduk yang terkesan dengan banjir menggesa kerajaan memudahkan urusan untuk memohon bantuan RM1,000 yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob Ahad lalu.

Mereka yang inginkan bantuan itu dikehendaki membuat laporan polis dan melampirkan gambar kemusnahan kediaman beserta salinan kad pengenalan untuk memperolehi bantuan khas itu, ADUN Sementa Daroyah Alwi mengesahkan.

Bagi mangsa banjir, proses itu memberikan tekanan tambahan kepada mereka setelah terkesan dengan kerosakan harta benda dan kediaman.

“Kami tengah pening nak cuci dan kemas rumah yang dinaiki air. Mana kami ada masa nak beratur di balai polis untuk dapat bantuan ini,” kata Muhammad Afiq Sallehuddin, 33.

Antara perabot yang terpaksa dibuang selepas rosak akibat ditenggelami air.

“Kami dah cukup penat dan pening dengan musibah ini,” katanya kepada FMT.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan awal RM100 juta untuk pasca banjir bagi membaiki kerosakan rumah dan infrastruktur lain.

Bantuan ini turut melibatkan Bantuan Wang Ihsan, di mana setiap ketua isi rumah terjejas banjir akan menerima sumbangan RM1,000.

Namun, mangsa banjir kecewa apabila dimaklumkan pelbagai prosedur perlu dibuat sebelum mereka boleh mendapatkan bantuan itu, antaranya membuat laporan polis dan sebagainya.

Majidah Yaakob.

Seorang suri rumah di Taman Klang Perdana, Majidah Yaakob, 52, berkata kerajaan seolah “berkira-kira” untuk membantu mangsa banjir sepertinya. Katanya, bantuan itu tidak mencukupi.

“Bila nak pilihan raya, pandai turun sini cari kami. Bila kami ditimpa musibah macam ni, mana YB semua?

“Suami saya bekerja, setiap tahun dia bayar cukai. Ke mana duit tu? Kalau bukan untuk bantu kami di waktu-waktu macam ni?” soalnya.

Muhammad Muizzuddin Muhamad.

Di Sementa, Muhammad Muizzuddin Muhamad, 30, ketika dijumpai wartawan FMT, sedang membantu ibu bapanya membersihkan rumah dan membuang perabot rosak akibat ditenggelami banjir.

“Ibu bapa saya sudah tua, sudah tak larat nak kemas dan angkat barang-barang rumah yang rosak. Ini pula nak pergi buat laporan polis, semata-mata nak dapat bantuan RM1,000.

“Kenapa kerajaan tak permudahkan urusan ni?” soalnya.

Shahrul Ashraf Sallehuddin.

Seorang lagi mangsa banjir, Shahrul Ashraf Sallehuddin, 37, mencadangkan bantuan kerajaan disalur terus menerusi ketua kampung atau wakil rakyat setempat.

“Buat senang-senang saja. Ketua kampung atau wakil rakyat senaraikan mangsa banjir dan mereka semua berhak dapat bantuan. Tak usahlah nak buat laporan polis ni semua. Kami dah cukup pening dengan semua kerosakan ni,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.