Kerajaan peruntuk lebih RM2 bilion atasi kos sara hidup di Sabah

Kerajaan peruntuk lebih RM2 bilion atasi kos sara hidup di Sabah

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata antara bentuk bantuan utama ialah SARA dan STR yang libatkan kira-kira 800,000 penerima di Sabah.

jualan rahmah
Kerajaan menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi pelbagai inisiatif di Sabah termasuk Program Jualan Rahmah Madani.
PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan memaklumkan lebih RM2 bilion disalurkan bagi membantu menangani kos sara hidup serta memastikan tiada rakyat di Sabah terpinggir daripada menerima bantuan kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata antara bentuk bantuan utama ialah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), melibatkan kira-kira 800,000 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.25 bilion.

“Transaksi penggunaan SARA bulanan mencatatkan kadar penggunaan sebanyak 98%,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang meminta kerajaan menyatakan langkah segera dan jangka sederhana bagi menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran di Sabah.

Menurut Liew, seramai 47,000 penerima di Sabah turut menerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan peruntukan kira-kira RM330 juta.

Selain itu, beliau berkata lebih 500,000 pelajar menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan jumlah peruntukan hampir RM80 juta.

Tambahnya, dalam usaha menstabilkan harga barangan, kerajaan menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi pelbagai inisiatif termasuk Program Jualan Rahmah Madani.

“Daripada jumlah itu, RM600 juta diperuntukkan bagi menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan di semua DUN, termasuk 73 DUN di Sabah, dengan pelaksanaan tiga kali sebulan bagi setiap DUN,” katanya.

Dalam pada itu, Liew berkata kerajaan turut memperuntukkan RM67 juta bagi program penyeragaman harga serta RM250 juta bagi Program Pengedaran Barang Perlu bagi menangani isu perbezaan harga barangan asas di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia akibat kos logistik yang tinggi

Beliau berkata kerajaan komited memastikan tiada rakyat terpinggir, khususnya di Sabah, selain yakin usaha berterusan itu akan memberi kesan positif kepada persekitaran ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.