

Bagi peniaga air minuman, Suraini Suhati, 57, bantuan SARA RM100 itu digunakan untuk membeli barangan bagi penyediaan jus dan minuman kisar yang diusahakannya sejak enam tahun lalu.
“Pada saya besar maknanya sebab kita memang memerlukan bantuan. Kalau boleh kerajaan teruskanlah SARA ini pada masa akan datang,” katanya.

Noor Faezah Jamaludin, 38, yang menjalankan perniagaan menjual pisang goreng pula berkata beliau gunakan bantuan itu untuk membeli bahan asas yang digunakan dalam perniagaannya.
“Saya beli tepung, gula serta minyak dan barangan asas lain guna SARA.
“Mungkin bagi orang lain yang pendapatannya lebih tinggi tidak nampak kepentingannya tapi bagi peniaga kecil seperti kami SARA sangat membantu,” katanya.

Pandangan sama dikongsi peniaga kebab, Muhammad Islahuddin Jamaludin, 24, yang menjadikan bantuan SARA sebagai tambahan kepada modal pusingan harian perniagannya.
“Walaupun tidak banyak tapi ia tetap membantu untuk menambah modal dan beli barang dapur serta keperluan rumah, tambahan pula kita hendak menyambut puasa dan hari raya,” katanya.

Peniaga air kopi, Muhammad Najmie Mahmod, 30, juga menggunakan SARA untuk menyerap kos barangan yang semakin meningkat.
“Bantuan SARA dapat membantu saya kurangkan kos dengan membeli barangan asas untuk berniaga,” katanya.
Ini kali kedua SARA RM100 ‘one-off’ diberikan kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, tanpa mengira pendapatan.
Inisiatif ini mula diperkenalkan pada 31 Ogos 2025 sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan.
SARA boleh dibelanjakan bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99 Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.