Media sosial dibanjiri rayuan mangsa banjir Shah Alam

Media sosial dibanjiri rayuan mangsa banjir Shah Alam

Ada beberapa hantaran yang dibuat warganet benar-benar menyedihkan, sekali gus menunjukkan betapa teruknya keadaan bencana yang melanda.

Hantaran di Facebook Kementerian Kesihatan yang merayu orang ramai membantu pasangan berkerusi roda yang terkandas dalam banjir di rumah mereka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Media sosial dibanjiri rayuan orang ramai meminta pertolongan untuk menyelamatkan ahli keluarga mereka yang tinggal bersendirian, susulan banjir besar yang melanda Selangor semalam.

Ada beberapa hantaran oleh warganet benar-benar menyedihkan, sekali gus menunjukkan betapa teruknya keadaan bencana yang melanda.

Pihak berkuasa kelihatan seolah-olah terkejut dengan kejadian itu biarpun terdapat banyak amaran cuaca buruk telah dikeluarkan sebelum ini.

Bagaimanapun, maklum balas daripada rakyat daripada semua kaum yang meminta butiran untuk menawarkan bantuan, sedikit melegakan dan berjaya memecahkan tembok perkauman pada saat-saat seperti ini.

Selain pertolongan untuk membantu ibu bapa uzur yang tinggal bersendirian di kawasan terjejas banjir, mereka juga merayu supaya membantu haiwan yang terkandas dalam banjir.

Salah seorang pengguna di Instagram menulis: “Guys! Tolong kongsi video ini. Kak Nurul ini selalu menyelamatkan kucing dan anjing. Dia memerlukan lori untuk menghantar ‘anak-anaknya’ ke pusat perlindungan.”

Seorang lagi warganet, yang berkongsi pernah melalui pengalaman sama di Gua Musang pula menasihatkan mangsa untuk sentiasa memastikan telefon dan ‘powerbank’ dicas.

“Selagi ada bekalan elektrik, tolong cas telefon dan ‘powerbank’. Cas juga lampu kecemasan tetapi sediakan lilin juga. Simpan makanan dan barang keperluan jika boleh. Semua ini penting.”

Manakala seorang lagi meminta orang ramai membantu neneknya yang tinggal bersendirian di sebuah rumah flat.

“Tolong, sesiapa yang tinggal kat Pangsapuri Perdana, Seksyen 13, nenek saya seorang diri di apartmen. Nak pinjam ‘powerbank’ dan kalau ada lampu suluh untuk nenek saya guna. Elektrik dah tak ada and telefon dia dah habis bateri. Tak ada cara untuk kami hubungi dia.”

Ada sebahagian warganet memberi maklum balas segera dengan meminta butiran daripada mereka yang menawarkan bantuan.

Rayuan seorang ibu yang baru saja melahirkan bayi semalam menerima maklum balas daripada orang ramai selepas dia membuat satu hantaran: “Sesiapa yang tinggal di Seksyen 20 Shah Alam (berhampiran KPJ Shah Alam), saya memerlukan tempat perlindungan untuk saya dan bayi yang baru saja dibenarkan keluar hospital semalam. Amat memerlukan bantuan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.