Banjir: KTM gantung beberapa laluan akibat landasan tenggelam

Banjir: KTM gantung beberapa laluan akibat landasan tenggelam

Penumpang terjejas boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh atau menukar tarikh perjalanan melalui e-dompet KITS atau di kaunter.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Zain Mat Taha, berkata hujan lebat sejak semalam, mengakibatkan beberapa operasi tren terjejas di sektor Pantai Timur dan Lembah Klang.
PETALING JAYA:
Beberapa perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terpaksa digantung sementara, berikutan landasan di beberapa kawasan ditenggelami air.

Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Zain Mat Taha, berkata hujan lebat sejak semalam, mengakibatkan beberapa operasi tren terjejas di sektor Pantai Timur dan Lembah Klang.

“Angin kuat telah menyebabkan pokok tumbang dan merosakkan alat talian atas, landasan juga ditenggelami air di beberapa tempat yang menyebabkan kelewatan serta pembatalan tren.

“Oleh itu, kami terpaksa membatalkan beberapa perkhidmatan tren demi keselamatan penumpang,” katanya.

Memperincikan status terkini operasi trennya, Zain berkata, bagi laluan dari KL Sentral menuju ke Pelabuhan Klang, tren akan ditamatkan di Stesen Subang Jaya.

“Tren ini akan berpatah balik ke KL Sentral. Tiada perkhidmatan dari Stesen Batu Tiga menuju ke Stesen Pelabuhan Klang dan sebaliknya, berikutan banjir dan tanah mendap di antara Padang Jawa dan Shah Alam,” katanya.

Sementara itu, bagi perkhidmatan operasi kargo, beliau berkata semua tren kargo dari Pelabuhan Klang akan digantung sementara.

“… sehingga paras air di Stesen Batu Tiga kembali surut dan landasan di sektor Padang Jawa serta Shah Alam kembali pulih,” katanya.

Dalam pada itu, bagi operasi KTM Intercity, Shuttle Timuran dan Skypark Link, beliau berkata, ketiga-tiga perkhidmatan itu beroperasi seperti biasa.

Katanya, penumpang terjejas boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh atau menukar tarikh perjalanan melalui e-dompet KITS atau di kaunter mengikut terma dan syarat.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Maklumat lanjut hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari Facebook rasmi KTMB,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.