Buli lagi, pelajar Tingkatan 3 di Kluang sakit dada ‘angkara’ senior

Buli lagi, pelajar Tingkatan 3 di Kluang sakit dada ‘angkara’ senior

Kejadian berpunca apabila pelajar senior tidak berpuas hati dengan sikap mangsa yang menyebabkan dia dibuli.

Tindakan susulan diambil oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang untuk mengesan suspek yang terlibat kes buli tersebut.
PETALING JAYA:
Satu lagi kes buli dilapor melibatkan seorang pelajar Tingkatan 3 dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Kluang, Johor, 9 Dis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima laporan pada 6.18 petang semalam.

Katanya, susulan kejadian itu mangsa dilaporkan mengalami kesakitan di dada serta trauma dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila seorang pelajar senior tidak berpuas hati dengan sikap mangsa yang menyebabkan dia dibuli,” katanya dalam kenyataan.

Razak berkata, tindakan susulan diambil oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang untuk mengesan suspek terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kami memandang serius kes jenayah seperti buli melibatkan pelajar di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan pihak terlibat,” katanya.

Hari ini, media melaporkan lima pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di Muar, direman hingga Sabtu bagi membantu siasatan kes buli terhadap pelajar berusia 14 tahun di sekolah sama.

Mereka didakwa membuli seorang pelajar junior sehingga mengakibatkan pelajar berkenaan cedera di rusuk kiri.

Sebelum itu, 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli yang tular baru-baru ini ditamatkan pengajian serta-merta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.