Pengantin disyaki penyamun dicekup selepas akad nikah

Pengantin disyaki penyamun dicekup selepas akad nikah

Suspek ditahan di Pejabat Agama Daerah Kemaman kerana disyaki terbabit dalam kes samun di rumah sarang burung.

Lelaki itu mengaku melakukan jenayah itu bersama dua lagi rakan yang sudah didakwa di mahkamah pada 22 November lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang baru sahaja selesai akad nikah, semalam ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun bersenjata secara berkumpulan, September lalu.

Suspek berusia 22 tahun ditahan di Pejabat Agama Daerah Kemaman kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan jenayah itu bersama dua lagi rakan berusia 29 dan 33 tahun yang sudah ditahan dan didakwa di mahkamah pada 22 November lalu.

“Pengantin baharu itu turut memiliki satu rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dua kes Seksyen 15 (1) ADB 1952,” katanya menurut laporan Harian Metro, hari ini.

Menurut Hanyan, suspek dipercayai melakukan jenayah itu bersama dua rakan pada jam 4 petang di sebuah rumah sarang burung di Mukim Mak Lagam, Kemaman.

Katanya, ketika kejadian, mangsa sedang bekerja di rumah sarang burung berkenaan didatangi empat lelaki dengan seorang daripada mereka memiliki senjata api.

Hanyan berkata, kumpulan penjenayah itu turut merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa dan melarikan dua guni berisi sarang burung

Katanya, suspek direman tujuh hari sehingga 20 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.