
Maka tidak hairankan jika Bajet 2022 menyediakan beberapa langkah menyasarkan golongan M40 kerana ramai hilang pekerjaan atau waktu bekerja dikurangkan ketika banyak perniagaan bergelut semasa perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.
Langkah pertama yang diumumkan ialah program JaminKerja dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion. Program ini menyasarkan penciptaan 600,000 peluang pekerjaan menerusi insentif pekerjaan; 80,000 pekerjaan jangka pendek di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC); dan meningkatkan kemahiran serta melatih semula 220,000 pekerja.
Di samping itu, Elaun Mencari Pekerjaan bawah Perkeso diperluaskan untuk menyediakan kepada mereka yang hilang pekerjaan sebahagian daripada upah terakhir, sementara mereka mencari pekerjaan lain.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia, Syed Hussain Syed Husman, menarik perhatian kepada laporan EIS baru-baru ini yang menyebut bahawa 64% individu yang diberhentikan kerja tahun ini terdiri daripada golongan profesional, juruteknik dan profesional bersekutu – yang kebanyakannya termasuk dalam kategori M40.
MEF percaya inisiatif penciptaan pekerjaan yang dicadangkan dalam Bajet 2022 boleh mengurangkan kadar pengangguran daripada 4.5% pada September 2021 kepada 4%,. Pada ketika itu Malaysia akan dianggap sudah mencapai guna tenaga penuh.

“Jaminan kerja menerusi JaminKerja itu akan banyak membantu golongan M40 mendapatkan pekerjaan,” katanya kepada FMT.
“Peruntukan untuk meningkatkan kemahiran dan latihan semula juga akan membantu pekerja M40 menambahbaik kemahiran masing-masing dan dilatih dalam bidang-bidang baharu yang relevan dengan keperluan pasaran buruh semasa.”
Beliau berkata, pekerja juga perlu dilatih untuk memenuhi permintaan dunia yang begitu cepat berubah, terutama dalam bidang gangguan digital.
Yeah Kim Leng, seorang profesor ekonomi di Universiti Sunway berkata, meningkatkan prospek pekerjaan amat penting bagi golongan M40 kerana mereka tidak semestinya memerlukan bantuan langsung seperti golongan berpendapatan rendah.
“Untuk membantu golongan M40, anda perlukan pemulihan ekonomi yang betul-betul berkesan kerana dengannya peluang pekerjaan, latihan dan keusahawanan tersedia bagi membolehkan mereka mengangkat taraf hidup.”
Beliau mengingatkan matlamat pemulihan tidak seharusnya sekadar memulihkan kehidupan M40 ke tahap sebelum pandemik, tetapi pemulihan yang turut membolehkan mereka mencapai taraf hidup lebih baik.
“Sekiranya mereka boleh mencapai impian menjadi golongan T20, maka itulah matlamat sokongan kerajaan yang mereka kehendaki dari segi mengekalkan peningkatan pendapatan itu supaya mereka boleh mencapai status pendapatan lebih tinggi dalam tempoh masa sesingkat mungkin.”