Bubar Parlimen: Sabar dulu, teruskan sokong saya sebagai PM, kata Ismail

Bubar Parlimen: Sabar dulu, teruskan sokong saya sebagai PM, kata Ismail

Perdana Menteri berkata, beliau memerlukan sokongan parti untuk menaikkan semangatnya berjuang dan isu terbesar adalah rakyat, bukannya 'politiking'.

Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau bukannya mahu kekal lama pada jawatan Perdana Menteri tetapi ada banyak tugas yang perlu dilaksanakan sebelum Parlimen dibubarkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak bersabar dan terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu ekonomi dan kesihatan yang dihadapi rakyat sebelum Parlimen boleh dibubarkan.

Walaupun kes Covid-19 semakin menurun berbanding di awal pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan ekonomi negara juga dilihat semakin pulih, katanya, tugas itu belum dilunaskan sepenuhnya.

“Saya perlu sokongan dari parti untuk naikkan semangat saya untuk perjuangan. Isu terbesar adalah isu rakyat dan bukan ‘politiking’ yang tak habis-habis.

“Kes memang semakin menurun tapi masih di sekitar 4,000. Jangan ingat kita dah bebas sepenuhnya dari Covid-19 dan tanggungjawab saya masih lagi besar dan perlu saya lakukan,” katanya dipetik Bernama ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Bera.

Ismail berkata, beliau bukannya mahu kekal lama pada jawatan disandangnya ketika ini, tetapi ada banyak kerja perlu dilaksanakan sebelum Parlimen dibubarkan, khasnya membabitkan kestabilan politik negara.

“Sebab itu saya kata sabar dulu, bersedia atau tidak kita ini (Umno). Kita bertanding perlu menang, syarat untuk menang kita perlu bersedia. Ada beberapa Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri menyatakan mereka belum bersedia sepenuhnya. Kalau masuk perang akan bawa masalah, jika belum bersedia,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Naib Presiden Umno itu berkata, kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka tidak boleh dijadikan penanda aras untuk partinya memenangi PRU15 kerana undi popular Umno di negeri itu hanya meningkat 1%.

“Kita beruntung kerana orang parti lain tak keluar, pengundi Cina hanya 50% dan keseluruhan keluar 65% sahaja, itu kelebihan kita di Melaka.

“Sebab itu saya kata Melaka tak boleh jadi model, kalau PRU15 kita jaga kita. Orang Bera akan jaga Bera, kita tak akan turun untuk bantu tempat lain sebagaimana PRN Melaka. Sebab itu saya lihat perkara ini (bubar Parlimen) perlu dilihat dengan lebih teliti, sebelum umum sesuatu kita kaji dulu, buat kajian terperinci.”

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sebelum ini berkata, PRU15 perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada BN,

Ismail berkata, semua parti berhak memberi pandangan berhubung pembubaran Parlimen, tetapi kuasa membubarkan Parlimen terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, beliau memerlukan persetujuan semua parti dalam Kabinet sebelum boleh membawa cadangan membubarkan Parlimen kepada Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.