Gagal patuh SOP, penganjur majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikompaun RM1,000

Gagal patuh SOP, penganjur majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikompaun RM1,000

Khairy Jamaluddin berkata KKM akan terus memantau perjalanan program itu dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun, sekiranya masih gagal patuh SOP.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata penganjuran majlis rasmi kerajaan seumpama ini sepatutnya memberikan contoh yang terbaik dan menjadi teladan serta penanda aras kepada agensi-agensi lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganjur majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya kecewa dengan penganjur yang gagal memastikan SOP dipatuhi.

Khairy Jamaluddin.

“Penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan pematuhan SOP ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.

“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri, berlangsung dari 9-12 Dis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Khairy berkata, penganjuran majlis rasmi kerajaan seumpama itu sepatutnya menjadi contoh serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk agensi bukan kerajaan serta orang ramai.

Ujarnya, KKM akan terus memantau perjalanan program itu dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat. Kita mestilah berpegang kepada standard yang sama seperti yang telah dikenakan ke atas rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, turut dimaklumkan Kaunter diskaun pembayaran saman polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan di KLCC akan ditutup serta-merta bermula petang ini.

Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.